PETALING JAYA: UOB Malaysia mengunjurkan pelaburan yang diluluskan di negara ini akan meningkat 13 peratus kepada RM185 bilion pada 2021, dengan hampir 40 peratus daripada pelaburan langsung asing (FDI)
Bank itu menjangkakan China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai antara sumber utama FDI dengan kebanyakan daripada modal akan disalurkan ke sektor nilai tambah tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), kimia, pembuatan dan perindustrian.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, walaupun perniagaan dan rantaian bekalan di seluruh dunia masih berdepan dengan kesan pandemik, Malaysia berupaya menarik syarikat dari seluruh dunia berkembang ke Asia Tenggara.
Ujarnya, potensi ekonomi Malaysia yang terpelbagai, asas yang teguh, dasar akomodatif dan demografi yang baik akan terus menarik minat syarikat asing yang ingin berkembang ke rantau ini.
“Kami yakin pengaturan semula rantaian bekalan ke ASEAN akibat ketidaktentuan geopolitik, termasuk ketegangan perdagangan AS-China, akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dalam sektor-sektor utama seperti perindustrian, barangan pengguna serta telekomunikasi, media dan teknologi.
“Jangkaan pertumbuhan juga disokong oleh pelancaran rangkaian 5G global yang akan merangsangkan sektor E&E dan pembuatan elektronik selain mempertingkat infrastruktur digital negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Di samping itu jelasnya, berikutan usaha kerajaan dalam menggalakkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus di negara ini, kami melihat minat yang semakin meningkat dalam projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui, seperti tenaga solar.
“Apabila negara melakukan peralihan ke tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan infrastrukturnya dengan sumber tenaga yang lebih bersih, ia akan menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat multinasional yang ingin mengembangkan operasi mereka dengan cara yang mampan.
Tambah beliau, meskipun menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar pada 2020 akibat pandemik Covid-19, negara mencatat jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion, dengan RM64.2 bilion adalah dari sumber FDI.
“China merupakan sumber FDI utama Malaysia dengan RM18.1 bilion, atau bersamaan dengan 28.2 peratus. Penyumbang lain termasuk Singapura dengan FDI sebanyak RM10 bilion, Belanda dengan RM7.0 bilion, dan AS dengan RM4.3 bilion,” ujarnya. – UTUSAN