Untung bersih Sime Darby Plantation naik 20% - Utusan Malaysia

Untung bersih Sime Darby Plantation naik 20%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Sime Darby Plantation Bhd. untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021 meningkat 20.09 peratus kepada RM562 juta, daripada RM468 juta dalam tempoh sama tahun lalu dipacu harga minyak sawit mentah yang tinggi, pengeluaran tandan buah segar dan segmen hiliran yang positif.

Dalam suku sama, perolehan syarikat turut meningkat 21 peratus kepada RM3.67 bilion daripada RM3.04 bilion tahun lalu manakala Pendapatan sesaham (EPS) suku tahunan meningkat kepada 8.2 sen daripada 6.8 sen.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kumpulan itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran kewangan tahun ini berdasarkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama.

“Walaupun kenaikan harga minyak sawit mentah memberi kelebihan kepada industri, namun ia juga didorong oleh prestasi operasi syarikat meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam tempoh sama, segmen hiliran Kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) berjumlah RM543 juta berbanding RM288 juta tahun lalu, didorong harga minyak sawit mentah dan isirung yang tinggi serta pengeluaran tandan buah segar.

Ia turut menyaksikan operasi hiliran kumpulan, Sime Darby Oils mencatat peningkatan 20 peratus PBIT kepada RM107 juta disumbang menerusi prestasi baik di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, operasi Sime Darby Oils mendapat manfaat daripada kenaikan harga pasaran tetapi permintaan masih belum pulih daripada impak Covid-19.

“Kumpulan juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi menangani isu perintah tahanan pelepasan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat akhir tahun lalu.

“Kumpulan telah melantik pihak ketiga untuk menjalankan penilaian komprehensif terhadap semua operasi di Malaysia yang dijangka lengkap Jun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya