Untung bersih Public Bank meningkat 15.1 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih Public Bank meningkat 15.1 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Public Bank Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM1.53 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac lalu, 15.1 peratus lebih tinggi berbanding untung bersih RM1.33 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihatnya, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, syarikat perbankan itu turut mencatatkan pendapatan tanpa faedah yang lebih tinggi, meningkat 16.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kata beliau, untuk suku pertama, perniagaan amanah saham Public Bank Group yang diuruskan anak syarikat milik penuhnya, Public Mutual kekal menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan tanpa faedahnya.

“Public Mutual merekodkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan pracukainya meningkat 33.6 peratus suku ke suku kepada RM216.6 juta.

“Pada penghujung Mac 2021, Public Mutual terus memperoleh pegangan pasaran runcit yang besar sebanyak 32.2 peratus dan menguruskan keseluruhan 166 dana amanah saham dengan aset di bawah pengurusan mencecah RM101.3 bilion,” katanya dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

Menurut Hong Piow, persekitaran operasi Public Bank adalah mencabar pada suku pertama 2021 memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan bagi mengatasi peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Kata beliau, walaupun berhadapan cabaran, ekonomi Malaysia beransur-ansur mengumpul momentum disokong oleh sentimen yang bertambah baik disebabkan pengedaran vaksin bersama pelbagai sokongan dasar yang berlangsung.

“Di bawah ekonomi yang semakin baik, Kumpulan Public Bank mencapai prestasi keuntungan yang lebih baik dipacu pengembangan pinjaman dan deposit perniagaan berterusan serta dilonjakkan lagi oleh pertumbuhan pendapatan berasaskan fi,” katanya.

Public Bank berjaya mencatatkan nisbah kos kepada hasil yang cekap pada 31.8 peratus dan pulangan atas ekuiti bersih yang tinggi pada 13.5 peratus.

Syarikat itu turut merekodkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi pada suku pertama 2021 dengan peningkatan tahunan 4.8 peratus, sebahagian besarnya disokong pengewangan hartanah kediaman, kenderaan penumpang serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya