Sasar 1,000 kedai Tealive menjelang 2024 - Utusan Malaysia

Sasar 1,000 kedai Tealive menjelang 2024

Kakitangan Tealive bergambar di hadapan cawangan ke-600 kedai itu di Gelang Patah, Johor, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama terkemuka teh gaya hidup di rantau Asia Tenggara, Tealive menya­sarkan untuk membuka sehingga 1,000 cawangan menjelang 2024, didorong tahap kesetiaan jenama yang kukuh dan fokus berterusan terhadap kemudahan pelanggan serta strategi digital.

Buat masa ini, pemilik jenama Loob Holding Sdn. Bhd. itu mempunyai 600 kedai Tealive dengan cawangan terbaharu di Gelang Patah, Johor dilancarkan minggu lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, pihaknya menghargai pe­langgan di Malaysia yang telah menyokong jenama itu hingga mampu membuka 600 cawangan walaupun dalam si­tuasi pandemik yang mencabar ini.

“Kami merancang untuk membuka antara 130 hingga 150 kedai setiap tahun, terutama di Johor, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta akan memiliki sejumlah 1,000 kedai dalam tempoh tiga tahun.

“Ketika wabak melanda, kami mengubah strategi dengan pantas melancarkan platform e-dagang sendiri dan menjadi syarikat pertama memasarkan kit DIY bu­bble tea,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Bryan, pihaknya merancang untuk terus me­numpukan usaha mendigitalkan perniagaan dan mengutamakan aspek kemudahan pelanggan merangkumi penawaran pelbagai saluran pesanan dan pembayaran tanpa sentuh antaranya imbas untuk pesanan, pesanan lebih awal dan model pandu-masuk di seluruh rangkaian kedainya.

“Tealive kini memiliki sejumlah 10 kedai pandu-lalu dan lebih 100 kedai pandu-masuk di mana pelanggan boleh membuat pesanan lebih awal dan meletak kenderaan di ruang khas semasa menunggu minuman dihidangkan.

“Kemudahan ini membuktikan kami terus berhubung de­ngan pelanggan di mana sahaja mereka berada sama ada di kedai-kedai di kejiranan mereka, pasar raya setempat, terminal transit dan stesen minyak serta melalui rakan penghantaran FoodPanda dan Grabfood terus ke rumah mereka,” ujarnya.

Bagi meraikan kejayaan pembukaan kedai ke-600 ini, Tealive menawarkan 60 minuman percuma setiap hari selama enam hari bermula 20 Mei di cawa­ngan Taman Nusantara di Ge­­la­ng Patah, Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya