SEBELUM ini, dua pusat kecantikan dan kesihatan Rabsha Therapy yang terletak di Balik Pulau dan Batu Ferringhi terpaksa dihentikan operasi buat sementara akibat impak pandemik Covid-19 pada tahun lalu.
Bagaimanapun, pemiliknya, Rabtawati Ramli, 48, tidak mudah mengalah dan kali ini, dia kembali membuka sebuah lagi pusat kecantikan dan kesihatan Rabsha Therapy di Jalan Air Putih, Balik Pulau awal April lalu.
Rabtawati berkata, dia memberanikan diri untuk membuka perniagaan selepas mendapat permintaan tinggi terutamanya daripada pelanggan setia terapi rendaman ais herba yang pernah diperkenalkan di dua pusat kesihatan dan kecantikan miliknya sebelum ini.
Rabtawati berkata, kali ini dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan mahu memastikan sasarannya untuk membuka francais yang menawarkan rawatan kesihatan dan kecantikan buat pelanggan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lagi tercapai.
Ibu kepada 12 orang anak yang berpengalaman lebih 18 tahun dalam bidang kecantikan dan kesihatan tradisional berkata, kali ini dia menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memastikan sasaran satu francais di setiap negeri menjadi kenyataan.
“Selain membuka francais di seluruh negara, saya juga menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 30 usahawan wanita dalam bidang kecantikan dan kesihatan.
“Mereka inilah yang akan menggerakkan operasi francais pusat kecantikan dan kesihatan Rabsha Therapy di seluruh negara kelak,” katanya ketika ditemui di pusat kecantikan dan kesihatan Rabsha Therapy, Balik Pulau, baru-baru ini.
Menurut Rabtawati dia juga mahu memberi fokus kepada mengukuhkan jenama pusat kecantikan dan kesihatan Rabsha Therapy dalam tempoh dua tahun pertama pembukaan pusat berkenaan.
Katanya, ini kerana adalah penting bagi sesebuah jenama untuk lebih dikenali ramai sebelum dia menggerakkan usaha untuk membuka francais pusat itu di seluruh negara.
“Saya juga mempunyai produk kesihatan dan kecantikan sendiri yang dikilangkan di Kulim, Kedah.
“Jadi di pusat ini, kesemua bahan-bahan terapi rendaman ais herba dan kecantikan berasaskan herba tradisi Melayu adalah keluaran saya sendiri dan diselia rapi sebelum digunakan oleh pelanggan,” katanya.
Menurutnya, ketika diuji masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19 dia bernasib baik kerana mempunyai produk-produk herba dengan menggunakan jenama Rabsha Herbs iaitu jamu, set peralatan bersalin dan sebagainya yang diusahakan sendiri sejak dua tahun lalu.
“Produk herba Rabsha Herbs ini yang membantu saya menjana pendapatan sepanjang operasi spa ditutup sebelum ini dan saya bersyukur kerana sambutan produk herba ini sangat memberangsangkan,” katanya.
Tambahnya, setakat ini produk herba Rabsa Herbs itu diedarkan menerusi sistem ejen dan dia mempunyai kira-kira 100 ejen untuk memasarkan produk berkenaan di seluruh negara.
Tambahnya, bagi membantu golongan wanita yang terjejas atau kehilangan pendapatan akibat pandemik ini, dia telah membuka program mentor-menti khas untuk golongan berkenaan.
Katanya, dia menerima banyak permintaan daripada wanita-wanita yang berminat untuk mempelajari selok belok perniagaan spa termasuk penjagaan selepas bersalin di rumah selepas Covid-19 melanda.
“Ilmu serta kelengkapan spa akan dibekalkan kepada mereka dan semuanya adalah percuma namun mereka perlu memastikan program spa di rumah berjaya dilaksanakan selama dua tahun,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kecantikan dan kesihatan di Pusat Kecantikan dan Kesihatan Rabsha Therapy mereka boleh berhubung dengan Rabta menerusi Facebook Rabsha Therapy atau berhubung di talian 017-944 4428 atau 017-4721182. – UTUSAN ONLINE