Produktiviti buruh suku pertama 2021 bertambah baik - Utusan Malaysia

Produktiviti buruh suku pertama 2021 bertambah baik

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Produktiviti buruh per pekerja Malaysia bertambah baik dengan penurunan marginal 0.4 peratus pada suku tahun pertama 2021 berakhir 31 Mac lalu, selepas mencatatkan negatif 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut merupakan yang paling kecil sejak produktiviti buruh negara mula menyusut pada suku tahun pertama 2020. 

“Pada suku ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 0.5 peratus manakala pekerja berkurang 0.04 peratus merekodkan sejumlah 15.2 juta orang.

“Sehubungan itu, nilai ditambah per pekerja pada suku tahun pertama 2021 adalah sebanyak RM22,516 per pekerja berbanding RM23,604 per pekerja pada suku tahun keempat 2020,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Sementara itu, menurut Mohd. Uzir, jumlah jam bekerja pada suku tersebut terus berkurang sebanyak 0.9 peratus berbanding -2.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, merekodkan 8.5 bilion jam bekerja berbanding 8.6 bilion jam pada suku sebelumnya.

“Berikutan itu, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pulih 0.4 peratus berbanding 0.8 peratus pada suku sebelumnya dengan nilai RM40.2 per jam berbanding R<40 per jam pada suku sama tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan positif bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini berikutan penurunan yang lebih besar dalam jumlah jam bekerja berbanding penguncupan marginal nilai ditambah,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, mengikut sektor ekonomi, sektor pembuatan terus mencatatkan peningkatan produktiviti buruh per pekerja bagi tempoh tiga suku tahun berturut-turut, meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku sebelumnya.

Pada suku tersebut juga, tiga subsektor pembuatan merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu minuman dan produk tembakau (15.6 peratus); produk elektrik, elektronik dan optikal (10.6 peratus) dan peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (10.3 peratus).

“Produktiviti buruh bagi sektor pertanian pula pulih kepada 1.6 peratus daripada negatif 0.7 peratus pada suku sebelumnya.

“Produktiviti buruh kekal menurun bagi lain-lain sektor iaitu perkhidmatan (-2.5 peratus); perlombongan dan pengkuarian (-3.7 peratus) dan pembinaan (-8.2 peratus),” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya