PETALING JAYA: Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) percaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama seperti PKP 1.0 yang dilaksanakan tahun lalu sangat diperlukan untuk memutuskan rantaian dan mengekang gelombang wabak Covid-19 yang kian meningkat.
Presidennya, Datuk Ar. Ezumi Harzani Ismail berkata, PKP Bersyarat dilihat tidak berkesan dalam mengurangkan jangkitan kes, sebaliknya ia mencetuskan lebih banyak cabaran dalam merancang dan melaksanakan tugas secara lebih berkesan.
Beliau berkata, pelaksanaan PKP bagaimanapun perlu diiringi beberapa langkah untuk membantu sektor ekonomi dan golongan yang pastinya terjejas.
Katanya, langkah itu termasuk pemberian enam bulan moratorium bayaran balik dan penangguhan bil utiliti untuk mengurangkan kos operasi perniagaan dan perbelanjaan individu.
“Selain itu, dasar pembahagian kos lateral seperti sewa hartanah perniagaan, gaji pekerja swasta dan penjawat awam patut dikurangkan sebanyak 25 peratus.
“Langkah lain, rebat atau diskaun bil utiliti kediaman hingga 25 peratus juga harus diberikan untuk menyokong pekerja yang bekerja dari rumah dan pelajar yang belajar dari rumah,” katanya dalam kenyataan.
Ezumi memberitahu, program vaksinasi juga harus dipercepatkan dengan insentif yang boleh dikenakan cukai untuk inisiatif vaksinasi swasta.
“Geran khas atau pelepasan cukai untuk digitalisasi dan automasi perniagaan harus diberikan bagi meningkatkan produktiviti serta termasuk perkakasan dan perisian.
“Seterusnya, kerajaan juga harus meminda Akta Covid-19 (Langkah Sementara) 2020 seperti yang disarankan oleh pihak berkepentingan industri pembinaan untuk sertakan peruntukan lanjutan masa umum dan pembahagian kos berkaitan langkah pencegahan berkaitan wabak itu.
“Di samping itu, kerajaan patut membenarkan dokumen dan transaksi pembayaran dalam talian secara digital termasuk penyerahan tender, permohonan persetujuan rancangan, penyerahan laporan, biaya rancangan pembayaran, caj pembangunan dan lain-lain,” tambahnya.
Tambah Ezumi, pertemuan dan perbincangan maya harus dibolehkan di kalangan pihak berkuasa tempatan dan pengawal selia tanpa perlu hadir secara fizikal atau beratur di kaunter perkhidmatan, bagi memastikan kesinambungan kelulusan berkanun tanpa berlengah.
Akhir sekali, katanya, perkhidmatan terpilih dan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal harus dibenarkan untuk mencegah risiko keselamatan dan kesihatan sekiranya tidak ditangani.
“Kami yakin PKP yang menyeluruh dengan gabungan pemberian vaksinasi yang pantas akan dapat mengekang penyebaran wabak itu dan membolehkan kita memulakan peralihan ke arah normaliti,” katanya. – UTUSAN