PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan laporan penglibatan syarikat itu dalam perbincangan dengan syarikat tenaga luar pesisir yang berpangkalan di Hong Kong, Ocean Wind International Industrial Limited.
“Laporan berita yang menyatakan bahwa Petronas telah melakukan perbincangan eksplorasi dengan Ocean Wind International Industrial Limited yang berpangkalan di Hong Kong untuk rancangan peralihan pengeluaran tenaga boleh baharu untuk masa depan adalah palsu.
“Tiada sebarang perbincangan, eksplorasi dan sebagainya dengan pihak yang berpusat di Hong Kong itu,” menurut kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, Petronas menegaskan tetap komited untuk meneruskan strategi tenaga baharu dan tenaga boleh baharu, yang telah dikembangkan sebagai sebahagian agenda kelestarian Lembaga dan pemegang sahamnya.
Ocean Wind International Industrial Limited sebelum ini mendakwa bahawa perbincangan eksplorasi pusingan kedua yang disahkan dengan eksekutif kanan Petronas akan diadakan bulan depan selepas pertemuan positif dan bermanfaat bulan lalu.
Menurut laporan sebuah portal berita, syarikat itu turut mendakwa berminat memanfaatkan pengalaman Petronas dengan pengeluaran bahan bakar luar pesisir, memandangkan kepakaran platform terapung Petronas sangat sesuai dengan turbin tenaga angin terapung Ocean Wind. – UTUSAN