LONDON: Pengasas bersama pemilik TikTok ByteDance, Zhang Yiming memberitahu pekerja syarikat teknologi gergasi China itu menerusi memo mengenai peletakan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat tersebut.
Jawatan tersebut akan digantikan oleh pengasas bersama, Rubo Liang.
Langkah itu, yang pertama kali dilaporkan oleh Reuters, merupakan rombakan korporat terbesar di ByteDance sejak dilancarkan pada 2012.
Syarikat berkenaan berkembang menjadi antara media sosial yang dominan di China apabila aplikasi video pendek TikTok yang popular dalam kalangan remaja menjadi sensasi global.
Zhang menulis dalam memo itu bahawa Liang, yang sebelum ini merupakan ketua sumber manusia di ByteDance telah menjadi ‘rakan kongsi berharga’, yang memajukan teknologi syarikat dan pengurusan pekerja.
Zhang menambah bahawa dia akan bekerjasama dengan Liang selama enam bulan ke depan untuk memastikan peralihan yang lancar.
Menurut Zhang lagi, setelah berfikir selama beberapa bulan, dia menjangkakan kesan yang lebih besar pada inisiatif jangka panjang ByteDance jika beralih daripada peranan CEO.
“Sebenarnya, saya kekurangan beberapa kemahiran untuk menjadi pengurus yang ideal. Saya lebih berminat menganalisis prinsip organisasi dan pasaran, serta memanfaatkan teori-teori ini untuk mengurangkan kerja pengurusan, dan bukannya menguruskan orang.
“Tambahan lagi, saya tidak terlalu sosial, lebih suka aktiviti bersendirian seperti dalam talian, membaca, mendengar muzik dan memikirkan apa yang mungkin,” tambahnya.
Keputusan Zhang untuk meletak jawatan datang kurang dari sebulan setelah ByteDance memperkenalkan ketua pegawai kewangannya, Shouzi Chew sebagai CEO TikTok.
TikTok berusaha untuk menjauhkan diri dari Beijing setelah Amerika Syarikat (AS) membangkitkan kebimbangan keselamatan nasional terhadap keselamatan data peribadi yang dikendalikannya.
Pentadbiran bekas presiden AS, Donald Trump berusaha untuk memaksa ByteDance melepaskan kawalan aplikasi tersebut.
Rancangan AS untuk menjual operasi TikTok AS kepada sebuah konsortium yang merangkumi Oracle Corp. dan Walmart Inc. gagal setelah ByteDance mencabarnya dari segi undang-undang. – AGENSI