PETALING JAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) melancarkan program Pemecut Cabaran Impak Sosial (SICA), platform bagi membantu syarikat pemula, perusahaan sosial dan penginovasi sosial mempercepat penyelesaian berpandukan impak mereka.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amiruddin Abdul Shukor berkata, semua perusahaan perniagaan berpandukan impak dijemput untuk menghantar penyelesaian berpandukan komersial mereka yang menyasarkan penyataan masalah terpilih kepada SICA.
“SICA ialah platform yang mengumpulkan penginovasi berpotensi tinggi untuk mempercepat pembangunan model impak mereka untuk pasaran yang lebih besar.
“Kami gembira untuk bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam mengemudi pemecut berfokuskan impak dan berpandukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pertama kami,” katanya dalam kenyataan semalam.
Melalui SICA, perusahaan perniagaan dengan model penjana pendapatan dan inovasi berpandukan impak akan menerima sumber-sumber dan sokongan berkemudi untuk meningkatkan penyesuaian pasaran untuk penyelesaian mereka dalam menangani siri cabaran sosial dan alam sekitar.
Menurut MaGIC, SICA menggabungkan program pemecut perniagaan dengan kandungan berdedikasi untuk penjajaran impak SDG PBB, termasuk pembinaan kapasiti terhadap amalan terbaik global dalam pengukuran dan pengurusan impak.
Jelasnya, peserta yang berprestasi tinggi akan memperolehi akses eksklusif kepada sokongan pasca pemecut yang diubah suai termasuk potensi pendanaan, akses rangkaian dan pementoran, selain peluang untuk mendapatkan perolehan kerajaan melalui Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan (PPISK).
“Penyataan masalah yang terpilih untuk SICA bukanlah baharu tetapi ia belum dapat menyelesaikan masalah yang memberi kesan kepada masyarakat.
“Kami berharap dalam menghubungkan penyelesaian inovatif baharu untuk rakan kongsi kami dalam menyelesaikan penyataan masalah mereka dan pada masa sama meningkatkan penerimaan pasaran produk atau perkhidmatan berpandukan impak.
“Ini situasi menang-menang untuk semua – masyarakat, planet dan keuntungan,” katanya. – UTUSAN