Industri pelancongan, perhotelan semakin lumpuh - Utusan Malaysia

Industri pelancongan, perhotelan semakin lumpuh

INDUSTRI perhotelan dan pelancongan memerlukan moratorium automatik kerana kehilangan pendapatan menyukarkan mereka untuk menanggung kos hutang yang tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak baru-baru ini terus melumpuhkan industri perhotelan dan pelancongan.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis berkata, industri pelancongan memang sudah terkesan sejak tahun lepas lagi dan pelaksanaan PKP 3.0 menyukarkan keadaan untuk industri tersebut, menjadikannya semakin lumpuh.

“Modul perniagaan kami berdasarkan pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat, namun dengan sekatan perjalanan itu aktiviti-aktiviti pelancongan tidak dapat dijalankan.

“Kami berharap pihak kerajaan akan melaksanakan PKP secara menyeluruh bagi mengekang penyebaran wabak itu serta-merta kerana kami perlu meneruskan aktiviti pelancongan untuk menjana pendapatan,” kataya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, katanya, industri itu memerlukan moratorium menyeluruh secara automatik supaya bayaran balik pinjaman dapat ditangguhkan kerana mereka tiada sumber pendapatan untuk membayar kos hutang yang tinggi.

Jelasnya, pihak bank yang telah mendapat keuntungan besar walaupun di tengah-tengah pandemik harus menunjukkan mereka boleh membantu masyarakat bagi memantapkan ekonomi negara.

“Peraturan yang tangkas untuk memudahkan industri pelancongan menjalankan perniagaan juga diperlukan kerana kebanyakan peraturan yang ada tidak relevan.

“Saya harap penggiat industri itu tidak akan berputus asa kerana industri pelancongan berpotensi tinggi dan telah memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara sebelum wujudnya wabak ini,” jelas Uzaidi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia, Emmy Suraya Hussein mendakwa kerajaan telah mengabaikan industri pelancongan dan perhotelan yang kini sangat memerlukan bantuan.

“Hotel yang beroperasi sekarang tidak dapat pelanggan yang mencukupi, secara langsung ia menyebabkan penurunan pendapatan dan menjadi satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan pekerja, pembuangan pekerja dan penutupan hotel.

“Kami merayu dan memohon supaya pihak kerajaan dan swasta bersikap lebih prihatin dengan mendengar rintihan serta keluhan pengusaha-pengusaha industri perhotelan dan pelancongan serta segera mengambil tindakan untuk memastikan kami mampu bertahan,” jelasnya.

Emmy Suraya berkata, dengan PKP yang dilaksanakan baru-baru ini pihaknya hanya mengharapkan pelanggan dari daerah yang sama sahaja.

Ujarnya, bagi membantu industri itu, bantuan dengan memberi subsidi upah sehingga hujung tahun dan diskaun sebanyak 50 peratus untuk semua utiliti sangat diperlukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya