MELBOURNE: Harga minyak jatuh dua hari berturut-turut berikutan potensi bekalan Iran kembali dan kebimbangan inflasi yang mungkin menyebabkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sekali gus membantutkan pertumbuhan ekonomi.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turun 73 sen atau 1.1 peratus kepada AS$64.76 (RM267.17) setong, susulan penurunan 1.2 peratus hari sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah Brent juga turun 73 sen atau 1.1 peratus kepada AS$67.98 (RM280.45) setong, selepas turun 1.1 peratus pada Selasa.
“Ada permainan risiko yang lebih luas sedang berlangsung,” kata ahli ekonomi kanan Westpac, Justin Smirk, setelah harga minyak turun dan pasaran saham merosot ketika para pelabur menjual lebih banyak aset spekulatif.
Smirk menyatakan spekulasi bahawa Rizab Persekutuan mungkin menaikkan kadar kerana kebimbangan inflasi membebani prospek pertumbuhan, seterusnya permintaan komoditi.
“Mereka sangat serius mengenai harga bertahan rendah, tetapi pasaran membuat spekulasi tentang pergerakan sebelumnya,” katanya.
Rizab Persekutuan AS telah memaklumkan kadar faedah akan tetap berada pada tahap rendah semasa hingga 2023 walaupun pasaran niaga hadapan menunjukkan pelabur percaya kadar mungkin akan mula dinaikkan pada September 2022.
Harga minyak juga berada di bawah tekanan walaupun dilaporkan AS dan Iran dalam perbincangan bagi menyambung kesepakatan berhubung had program nuklearnya, yang boleh menyebabkan penarikan sekatan dan kebangkitan eksport minyak Iran.
“Dalam keadaan harga minyak paling lemah, sekitar 1.5 peratus bekalan minyak global dapat dipasarkan dalam tempoh kurang dari enam bulan. Kami fikir sebarang kenaikan bekalan minyak Iran mungkin akan beransur-ansur,” kata penganalisis komoditi Commonwealth Bank, Vivek Dhar. – AGENSI