PETALING JAYA: Jenama susu terkenal negara, Goodday Milk menggalakkan rakyat negara ini menyumbang kepada golongan yang memerlukan menerusi kempen ‘Goodday Sebarkan Kebaikan.’
Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., Yee Pek Kuan berkata, kempen yang dijalankan sepanjang Ramadan lalu membantu orang ramai melakukan amal kebajikan dari kediaman mereka sendiri.
Ujarnya, inisiatif itu tepat pada masanya kerana ketika itu umat Islam tidak dapat melakukan amal jariah di tempat terbuka berikutan wabak Covid-19 masih membimbangkan.
“Sebagai jenama yang menitikberatkan kebaikan masyarakat dan pengguna, Goodday melancarkan kempen ini bagi memastikan golongan kurang berkemampuan tidak dilupakan walaupun dalam situasi sukar.
“Kami sangat berbesar hati dapat menjayakan kempen tersebut di bulan yang mulia. Kami berharap melalui kempen ini, masyarakat dapat memberikan sumbangan yang besar kepada badan amal dan individu memerlukan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Menerusi kempen ‘Goodday Sebarkan Kebaikan,’ pengguna hanya perlu membeli sebarang produk Goodday Milk atau Tropicana bernilai minimum RM15 dalam satu resit.
E-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) akan dihantar untuk memaklumkan pengguna setelah resit disahkan dalam masa 48 jam, sebelum membuat pilihan sekiranya mereka ingin menebus e-kredit Touch ‘N Go bernilai sehingga RM30 atau menyumbang ke rumah penjagaan orang tua iaitu Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.
Tambah Pek Kuan, sepanjang pandemik ini, Goodday Milk juga telah menjalankan beberapa kempen untuk kebaikan pengguna dan masyarakat termasuk menjalankan sesi moreh maya dan perkongsian dengan aplikasi navigasi Waze yang membolehkan rakyat Malaysia membeli-belah di pasar raya yang kurang sesak.
“Dalam keadaan tidak menentu ini, kita semua perlu berdiri dan saling menyokong. Sebagai jenama yang sentiasa disokong oleh rakyat Malaysia, kami akan terus mengambil bahagian untuk menyalurkan kebaikan kepada masyarakat sama ada melalui inisiatif amal atau kempen yang menghubungkan kami dengan pelanggan ketika mereka bekerja dari rumah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE