PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, AMAL Bank Islam, menyerahkan 11 unit rumah berjumlah lebih RM600,000 kepada asnaf terpilih menerusi Program Baiti Jannati.
Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan itu melibatkan peruntukan AMAL dan zakat untuk untuk membeli rumah yang sedang disewa oleh 11 keluarga asnaf berkenaan daripada DBKL.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, sebagai sebuah institusi perbankan patuh syariah, Bank Islam peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat serta kesempitan yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik, khususnya dalam mendepani persekitaran ekonomi yang mencabar hari ini.
Ujarnya, pelbagai inisiatif telah diadakan bagi menangani dan membantu golongan yang layak, termasuk penyediaan kediaman yang selesa.
“Sehubungan itu, kami telah memulakan Program Bantuan Rumah Bank Islam pada 2008 di Kelantan dan Terengganu, sebelum diperluas ke seluruh negara. Setakat ini, lebih 300 asnaf telah menerima manfaat peruntukan berjumlah lebih RM9 juta menerusi program itu.
“Tahun ini, program diteruskan melalui kerjasama dengan Program Baiti Jannati kelolaan DBKL bagi memberikan pemilikan rumah kepada asnaf miskin bandar yang menetap di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL. Kita turut menambah baik fizikal rumah selain membekalkan perabot tambahan dan peralatan elektrik,” katanya dalam kenyataan.
Majlis penyerahan kunci Program Baiti Jannati telah disempurnakan oleh Pengurus Besar, Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd. Nazri Chik di Dewan Komuniti PPR Beringin, dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Muazzam, Bank Islam juga telah menjadi perintis skim pembiayaan pemilikan rumah untuk golongan asnaf yang dikenali sebagai kemudahan Pembiayaan Peribadi-i Asnaf, dengan kerjasama Agensi Mengurus Zakat Negeri.
Menerusi skim tersebut jelasnya, asnaf yang berpendapatan tetap di bawah RM1,500 sebulan boleh memiliki kediaman sendiri sama ada di atas tanah sendiri atau selepas diizinkan pemilik tanah.
“Menerusi kolaborasi dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), projek rintis dilancarkan dengan dua buah rumah telah diserahkan kepada penerima yang layak pada Februari lalu.
“Kami menyasarkan untuk menyerahkan sebanyak 30 unit rumah pada tahun ini dan terus berusaha untuk memperluaskannya di seluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri yang berminat,” tambahnya. – UTUSAN