LONDON: Apple Inc. berhadapan tuntutan mahkamah selepas didakwa mengenakan caj berlebihan kepada hampir 20 juta pengguna di United Kingdom (UK) untuk pembelian di platform App Store.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pihak penuntut mendakwa fi standard 30 peratus yang dikenakan Apple adalah ‘berlebihan’ dan ‘melanggar undang-undang’.
Tuntutan tersebut yang difailkan di Tribunal Rayuan Persaingan London kelmarin meminta supaya syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu membayar pampasan kepada pengguna iPhone dan iPad di UK atas caj berlebihan yang didakwa dikenakan selama bertahun-tahun.
Ketua pihak penuntut dalam kes itu, Rachael Kent berkata, Apple menyalahgunakan dominasinya dalam pasaran aplikasi yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna UK.
Kent yang juga profesor di King’s College London mengajar kaedah pengguna berinteraksi dan bergantung kepada platform digital.
Tuntutan tersebut yang disifatkan Apple sebagai ‘tiada merit’ itu difailkan seminggu selepas perbicaraan tuntutan Epic Games Inc. yang mendakwa syarikat itu mengoperasikan pasar dalam taliannya dengan monopoli dan penipuan di AS bermula.
Awal tahun ini, Apple menurunkan fi App Store kepada 15 peratus daripada 30 peratus untuk pembangun aplikasi yang menghasilkan keuntungan tahunan sebanyak AS$1 juta (RM4.12 juta) daripada aplikasinya dan pelanggan baharu.
Tuntutan undang-undang itu hadir selepas Apple menghadapi bantahan daripada pengatur dan pembangun aplikasi seluruh dunia yang mendakwa fi dan polisi lainnya tidak adil.
Bulan lalu, Suruhanjaya Eropah menghantar kenyataan bantahannya kepada Apple dan menjelaskan mengapa Apple dianggap menyalahgunakan kuasa sebagai pengawal maklumat untuk aplikasi penstriman muzik dalam platform jualannya.
Bagi mempertahankan diri, Apple memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya percaya tuntutan yang dikenakan tidak bermerit dan mengalu-alukan peluang untuk berbincang dengan mahkamah tentang komitmennya kepada pengguna serta manfaat yang dibawa App Store kepada ekonomi UK.
“Komisen yang dikenakan oleh App Store adalah lazim untuk pasaran dalam talian lain.
“Malah, 84 peratus aplikasi dalam App Store adalah percuma dan pembangun aplikasi tidak membayar apa-apa kepada Apple.
“Dan untuk majoriti besar pembangun aplikasi yang membayar Aplle komisen kerana mereka menjual barangan atau perkhidmatan digital, mereka layak mendapat kadar komisen 15 peratus,” katanya. – AGENSI