Vincent Tan lepas jawatan dalam BCorp - Utusan Malaysia

Vincent Tan lepas jawatan dalam BCorp

VINCENT TAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd. (BCorp), Tan Sri Vincent Tan mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa hari ini.

Beliau bagaimanapun akan kekal dalam Lembaga Pengarah BCorp sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, sejajar dengan visinya untuk mentranformasi Kumpulan BCorp kepada syarikat yang diuruskan oleh profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan BCorp, Abdul Jalil Abdul Rasheed yang dilantik ke dalam Lembaga Pengarah pada 16 Mac lalu diberi tanggungjawab untuk mentransformasi Kumpulan BCorp menjadi organisasi berprestasi tinggi.

Menurut Vincent, sasaran itu mampu dicapai menerusi pelarasan semula pelbagai perniagaan kumpulan untuk mewujud dan meningkatkan nilai pemegang saham, mengoptimumkan kewangan dan sumber manusia, meningkatkan sinergi, kecekapan, tadbir urus korporat dan ketelusan.

“Dengan Abdul Jalil Rasheed sebagai CEO Kumpulan, menguruskan urusan membuat keputusan strategik dan operasi serta merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp bersama Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Robin Tan, saya yakin Kumpulan BCorp berada di tangan yang mampu dan dapat melangkah maju ke tahap yang lebih tinggi.

“Ia juga penting untuk memberi Abdul Jalil ruang dan kebebasan untuk menguruskan Berjaya dengan gayanya sendiri. Saya kini dapat mengundurkan diri dari pembabitan aktif harian dalam perniagaan Kumpulan dan menumpukan lebih banyak masa dan tenaga saya untuk menggalakkan inisiatif amal dan kepentingan lain.

“Saya diberkati dengan kekayaan dan bersyukur kerana banyak peluang yang sudah diberikan oleh Malaysia kepada saya. Sekarang masa untuk memberinya kembali,” katanya dalam kenyataan.

Tambah hartawan itu, beliau sangat berminat dengan pembangunan rumah pada harga yang berpatutan untuk rakyat Malaysia memandangkan perumahan adalah keperluan asas dan mustahak untuk maruah, keselamatan dan keterangkuman seseorang.

Jelasnya, dua tahun lalu, Better Malaysia Foundation mengumpulkan profesional berminda terbuka untuk membantu merumuskan penyelesaian inovatif bagi mengatasi jurang kemampuan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berpendapatan rendah B40.

“Kami melancarkan program sosial baharu dengan satu matlamat nasional, iaitu membantu usaha kerajaan dalam menyelesaikan keperluan pemilikan rumah bagi rakyat Malaysia berpendapatan rendah melalui inovatif dan penyelesaian yang mampan.

“Kerajaan kita sentiasa bersemangat untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia berpendapatan rendah. Kami percaya bahawa program sosial baharu akan dapat melengkapkan agenda perumahan mampu milik kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Robin berkata, bapanya menyuarakan mengenai keinginan untuk mengundur diri dan meletakkan kepercayaan kepada profesional menguruskan Kumpulan BCorp.

“Dengan melepaskan peranan eksekutifnya, bapa saya mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan minat yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya