PETALING JAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama strategik dengan Perisind Samudra Sdn. Bhd. (PSSB) bagi melaksanakan projek inisiatif pembangunan dan penyelidikan Bandar Hijau Pintar (Green and Smart City).
Kerjasama itu membabitkan pemberian geran bernilai RM1 juta daripada PSSB kepada UTHM bagi tujuan penyelidikan awal.
Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dan penyerahan replika cek telah diadakan 4 April lalu.
Pada majlis itu, UTHM diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, sementara PSSB diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Shafiee Mohd. Sanip dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.
Menurut Wahid, perjanjian itu untuk membina kerjasama dalam bidang penyelidikan, sangkutan industri dalam kalangan kakitangan, pelajar dan aktiviti tanggungjawab sosial.
Katanya, sebuah Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB telah diwujudkan bagi merancang, melaksana dan memantau segala aktiviti penyelidikan berkaitan ekonomi, pengangkutan, teknologi maklumat, analisis data raya dan pengurusan sisa dan alam sekitar menerusi persetujuan bersama.
“Penggunaan dana geran penyelidikan ini akan disalurkan kepada UTHM dan diurus tadbir oleh Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB yang diwujudkan di bawah OASIS Integrated Group (OIG).
“Dengan termeterainya kerjasama ini, pihak UTHM-PSSB turut mewujudkan sebuah makmal dinamakan ‘Perisind BizLab’ sebagai makmal industri di universiti ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Wahid, Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB akan menyelaras perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek serta aktiviti di bawah Perisind BizLab, manakala Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM pula akan menyediakan fasiliti bagi penubuhan makmal itu. – UTUSAN