Unjuran pertumbuhan ekonomi 6 - 7.5% mampu dicapai - Mustapa  - Utusan Malaysia

Unjuran pertumbuhan ekonomi 6 – 7.5% mampu dicapai – Mustapa 

MUSTAPA Mohamed (tengah) ketika sesi taklimat berhubung Pembangunan Fasa Kedua Projek PIPC di Hotel Jen, Iskandar Puteri, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan yakin mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara enam hingga 7.5 peratus yang disasarkan tahun ini sekiranya situasi semasa ekonomi ketika tempoh Covid-19 terus menunjukkan pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keyakinan itu disokong beberapa petanda baik yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara.

Antara petanda baik itu termasuklah eksport Februari yang meningkat, kadar pengangguran Februari yang menurun, perkembangan indeks perindustrian serta kenaikan harga komoditi iaitu kelapa sawit dan minyak dunia.

“Kita yakin apa yang diunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu enam hingga 7.5 peratus tahun ini dan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengunjurkan pertumbuhan negara kita sebanyak 6.5 peratus tahun ini mampu dicapai.

“Sekarang ini sudah ada tanda-tanda (positif), dalam seminggu dua lagi BNM akan mengeluarkan kadar pertumbuhan ekonomi negara suku pertama iaitu tempoh Januari hingga Mac.

“Kita yakin ada julat sedemikian, namun ia banyak bergantung kepada situasi Covid-19.  Maknanya kalau situasi semakin stabil dan berkurangan, kita mungkin boleh capai 7.5 peratus,” katanya dalam sidang akhbar pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di sini hari ini.

Mustapa bagaimanapun mengakui, kerajaan akan menghadapi cabaran dalam merencana Belanjawan 2022 berikutan situasi Covid-19 yang masih belum stabil serta kekangan dari segi sumber kewangan negara.

Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan akan memperhalusi permohonan setiap kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan agar peruntukan pembangunan tahun depan lebih fokus kepada projek yang memberi impak besar kepada rakyat.

Kata beliau, proses untuk permohonan dan perbincangan terbabit telah bermula pada 12 April lalu dan dijangka berakhir Jun ini, sebelum keputusan dijangka akan dapat dimuktamadkan Ogos ini untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan bagi tindakan lanjut.

“Kita maklum dengan kekangan sumber kewangan kerana sebahagian sumber berkenaan perlu disalurkan kepada usaha menangani Covid-19 dan juga untuk memastikan rakyat Malaysia menerima bantuan.

“Oleh itu, kita kena berhemah dalam berbelanja dan pastikan projek yang diluluskan merupakan projek yang memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) mengenai perkembangan terbaharu pembangunan PIPC dan perkembangan pelaksanaan Sistem Transit Bas Deras (BRT) oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya