BANGKOK: Kementerian Kewangan Thailand sekali lagi menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu kepada 2.3 peratus daripada 2.8 peratus sebelum ini, selepas gelombang ketiga pandemik Covid-19 mula memberi kesan kepada industri pelancongannya.
Thailand dilaporkan merekodkan peningkatan hampir separuh daripada keseluruhan kes Covid-19 bulan ini ketika ia dikatakan bersedia untuk membuka pintu sempadan kepada pelancong asing berikutan program vaksinasi global.
“Pihak kementerian menjangkakan ketibaan pelancong asing sekitar dua juta pada tahun ini, berbanding unjuran tiga bulan lalu, seramai lima juta orang,” kata Pegawai Kanan kementerian, Kulaya Tantitemit dalam satu taklimat.
Pada 2019, Thailand merekodkan kedatangan hampir 40 juta pelancong, sebelum pandemik melanda.
“Pengurangan kedatangan pelancong akan memberi impak, kerana ia akan turut mengurangkan aliran masuk wang kepada kira-kira 100 bilion bath (AS$3.2 bilion/RM13.13 bilion) daripada 260 bilion bath (RM34.14 bilion) jangkaan sebelum ini,” katanya.
Sektor pelancongan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dengan tahun lalu seramai 6.7 juta pengunjung direkodkan. Pada 2019, sebanyak 40 juta pelancong datang ke negara ini dan membelanjakan kira-kira 1.91 trilion bath (AS$61.14 bilion/RM250.86 bilion)
“Agihan vaksin sangat penting kerana ia akan memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi. Kami menjangkakan pemulihan ekonomi pada suku ketiga dan awal suku keempat lebih perlahan,” katanya.
Bagaimanapun kata Tantitemit, pihak kementerian mengunjurkan peningkatan eksport pada tahun ini kepada 11 peratus daripada 6.2 peratus pada Januari mengambil kira pemulihan ekonomi di peringkat global.
Katanya, ia juga mengambil kira pakej rangsangan tambahan lebih 100 bilion bath (AS$3.2 bilion/RM13.13 bilion) yang telah diumumkan kerajaan. – AGENSI