PETALING JAYA: British American Tobacco Berhad (BAT) meramalkan tahap penularan rokok seludup di Malaysia kekal di paras yang tinggi kerana ramai pengguna menghadapi tekanan kewangan akibat pandemik dan tidak mampu membeli rokok sah.
Sehubungan itu, BAT Malaysia menyarankan agar tindakan berterusan diambil oleh pihak berwajib untuk menghentikan kegiatan pasaran gelap tembakau.
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, walaupun sudah menghampiri separuh kedua 2021, masalah pasaran gelap tembakau masih belum diselesaikan.
Katanya, langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk mengatasi masalah pasaran gelap tembakau menandakan satu permulaan yang baik bagi tahun ini.
“Walau bagaimanapun, kerajaan mesti mengekalkan tumpuan terhadap usaha menghentikan pasaran gelap untuk menampung kos pemulihan ekonomi.
“Adalah amat penting untuk kerajaan Malaysia memperluaskan rangkaian cukai bagi produk vape meliputi e-cecair dengan nikotin yang merangkumi 97 peratus daripada pasaran.
“Ini supaya pengguna boleh membeli produk alternatif yang diketahui kualitinya. Kami akan terus menyokong dan menggalakkan pelaksanaan peraturan dan undang-undang yang lebih jelas dan praktikal berhubung vape nikotin oleh kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Reed berkata, tahun kewangan 2020 merupakan tahun pemulihan bagi bagi BAT Malaysia walaupun menghadapi keadaan operasi yang sukar.
Beliau berkata, untuk tempoh berkenaan, BAT Malaysia mencatatkan peningkatan angka jualan, untung, perolehan bersih dan bahagian pasaran pada suku ketiga terakhir tahun.
“Ini merupakan pemacu yang kukuh bagi kami untuk kembali mencatatkan peningkatan pertumbuhan dan mencapai matlamat korporat A Better Tomorrow.
“Dengan matlamat baharu ini, BAT Malaysia bertekad untuk menyediakan masa depan yang lestari bagi pemegang saham dan pihak-pihak berkepentingan.
“Walaupun rokok akan terus menjadi teras utama perniagaan kami buat masa depan untuk tempoh tertentu, kami sedang berusaha menjana hasil yang lebih besar daripada produk selain rokok untuk mengurangkan kesan dan risiko kepada perniagaan kami,” katanya. – UTUSAN