Stok meningkat, harga minyak jatuh - Utusan Malaysia

Stok meningkat, harga minyak jatuh

Keputusan OPEC dan sekutunya mengurangkan pemotongan pengeluaran, mendorong kejatuhan harga hadapan minyak mentah di pasaran global. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Harga minyak jatuh semalam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak dan sekutunya (OPEC+) minggu lalu bersetuju untuk beransur-ansur mengurangkan pemotongan pengeluaran antara Mei sehingga Julai ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Jun turun 33 sen atau 0.5 peratus kepada AS$64.53 (RM265.06) setong pada sesi dagangan selah pagi.

Sementara itu, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) untuk Mei turun 25 sen atau 0.4 peratus kepada AS$61.20 (RM251.38).

Kedua-dua kontrak hadapan ditutup lebih AS$2 (RM8.21) setong Khamis lalu ketika pelabur melihat keputusan OPEC+ sebagai pengesahan berlakunya pemulihan diterajui permintaan dan rasa optimis yang dilonjakkan pelan perbelanjaan infrastruktur bernilai AS$2 trilion (RM8.21 trilion) oleh Presiden AS, Joe Biden.

Pasaran ditutup pada Jumaat sempena perayaan Easter.

OPEC+ bersetuju untuk mengurangkan pemotongan pengeluaran sebanyak 350,000 tong sehari pada Mei, tambahan 350,000 tong sehari (Jun) dan 400,000 tong sehari (Julai).

Keputusan itu dibuat selepas pentadbiran baharu AS menggesa Arab Saudi memastikan harga sumber tenaga kekal mampu milik untuk pengguna.

Gesaan itu dibuat walaupun AS sedar wujud kebimbangan permintaan memandangkan sebahagian daripada Eropah masih dalam sekatan pergerakan dan Jepun mungkin memperluas langkah daruratnya untuk membendung gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani Khamis lalu, pemotongan bekalan oleh OPEC+ hanya sedikit tinggi daripada 6.5 juta tong sehari pada Mei, berbanding kira-kira tujuh juta tong sehari bulan ini.

Sebahagian besar daripada peningkatan bekalan adalah daripada pengeksport terbesar dunia, Arab Saudi yang berkata, pihaknya akan menghentikan pemotongan pengeluaran sukarelanya pada Julai, langkah yang akan menambah satu juta tong sehari ke dalam bekalannya.

Minggu ini, pelabur tertumpu kepada perbincangan tidak langsung di Vienna melibatkan Iran dan AS sebagai sebahagian daripada rundingan yang lebih luas untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dengan kuasa dunia itu.

Menjelang perbincangan tersebut, Kementerian Luar Iran berkata, pihaknya mahu AS membatalkan semua larangan dan menolak apa-apa pengurangan larangan satu persatu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya