PETALING JAYA: Dompet mudah alih ShopeePay telah memperkenalkan ciri baharu Deals Near Me yang akan mendorong pengguna aplikasinya membeli-belah di kedai-kedai luar talian secara efisien.
Shopee dalam satu kenyataan memberitahu, ciri baharu itu merupakan antara ciri atas talian (O2O) yang menggunakan perkhidmatan berasaskan lokasi.
Melaluinya, perniagaan seperti kafe, restoran dan penyedia perkhidmatan boleh menawarkan diskaun dalam bentuk baucar ShopeePay.
Ketua Pengarah ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, baucar-baucar itu akan membantu kedai luar talian untuk menarik perhatian para pengguna yang gemar membeli-belah secara dalam talian.
“Melalui Deals Near Me, para peniaga di luar talian dapat meningkatkan pendedahan perniagaan mereka kepada pembeli-pembeli dalam talian.
“Kami juga akan menawarkan pulangan tunai melalui ciri baharu itu demi menggalakkan pengguna-pengguna di kawasan berdekatan untuk mengunjungi premis-premis perniagaan yang menyertai program baucar ShopeePay ini,” katanya.
Menurutnya, sejak 1 April, ciri tersebut telah membawa lebih 100,000 pelanggan kepada 130 peniaga awal menggunakan Deals Near Me.
Sementara itu, Shopeepay turut memperkenalkan baucar khas Ramadan yang akan dipromosikan pada tiga waktu berbeza iaitu Sahur Specials pada pukul 5 pagi, Jom Berbuka dengan ShopeePay (12 tengah hari), dan Moreh Specials (10 malam).
Pengguna Shopee boleh membeli baucar-baucar itu dengan harga serendah 5 sen untuk mendapatkan pulangan wang tunai hingga RM8 dari kedai-kedai seperti Nasi Kandar Pelita, Nando’s,TGI Friday’s, Boat Noodle, Johnny’s, OLDTOWN White Coffee, J.Co Donut dan Hokkaido Baked Cheese Tart.
Shopee menjelaskan, Kempen Raya Bersama Shopee akan menawarkan para pengguna penghantaran percuma tanpa pembelanjaan minimum dan tawaran daripada serendah RM1.
Tambahnya, para pengguna juga boleh menikmati Jualan Hebat Raya pada 23 April dan Pesta Jualan Raya pada 5 Mei, yang bakal menawarkan tawaran yang menakjubkan kepada rakyat Malaysia serta diskaun hingga 80 peratus untuk peralatan rumah, perabot, pakaian Hari Raya, hiasan dan banyak lagi sebagai persiapan untuk Hari Raya.
Pengurus Kanan Pemasaran Shopee Malaysia, Tan Ming Kit memberithau, platform e-dagang tersebut akan memudahkan rakyat Malaysia yang ingin memberi sumbangan kepada masyarakat pada bulan Ramadan ini melalui inisiatif amal #ShopeeGivesBack.
“Dengan ini, para pengguna Shopee boleh menghulurkan sumbangan serendah RM1 kepada kanak-kanak dan keluarga yang kurang bernasib baik,” katanya. – UTUSAN