SC kenakan celaan terhadap Remitano - Utusan Malaysia

SC kenakan celaan terhadap Remitano

SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan celaan terhadap Remitano kerana mengendalikan bursa aset digital (DAX) di Malaysia tanpa kebenaran dan turut dimasukkan dalam senarai Peringatan Pelabur SC.

SC dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius pelanggaran itu dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman web Remitano. 

Ujar pengawal selia itu, pihaknya juga telah memohon Google dan Apple untuk menghentikan operasi aplikasi mudah alih Remitano di negara ini.

“Pelabur digesa segera menghentikan dagangan melalui platform tersebut dan menarik balik semua pelaburan mereka sebelum laman web Remitano disekat dan tidak dapat diakses di Malaysia.

“Mengendalikan DAX tanpa kebenaran daripada SC untuk didaftarkan sebagai Pengendali Pasaran Berdaftar (RMS) merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 7 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta boleh didenda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

SC sejak dua tahun lalu telah mempergiat usaha memerangi skim pelaburan haram melalui pelbagai kempen kesedaran pencegahan penipuan yang dilancarkan melalui platform lnvestSmart® SC, untuk mengingatkan para pelabur agar berhati-hati sebelum melabur dalam skim-skim pelaburan terutamanya yang ditawarkan melalui media sosial dan platform pesanan. 

Kempen-kempen ini dijalankan melalui televisyen, radio, platform media sosial dan laman web termasuk laman khusus bagi pencegahan penipuan di laman web SC. 

Selain itu, Senarai Peringatan Pelabur SC juga sentiasa dikemas kini di samping pengumuman media dan hantaran media sosial InvestSmart® untuk mengingatkan orang ramai mengenai maklumat terkini.

Pelabur diingatkan agar hanya melabur dengan Pengendali Pasaran yang Diiktiraf yang berdaftar dengan SC. Mereka yang berurusan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar adalah tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan oleh itu, terdedah kepada risiko seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Orang ramai digesa memaklumkan kepada SC sekiranya mereka mendapati mana-mana laman web yang mencurigakan serta menerima panggilan telefon atau e-mel yang menawarkan pelaburan yang tidak sah terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya