KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) meletak sasaran melahirkan 15,000 usahawan baharu yang kompeten dalam kalangan bumiputera menjelang 2025 menerusi Pelan Strategik MARA (PSM) 2021-2025.
Sasaran itu selari dengan teras pertama PSM iaitu membangunkan komuniti usahawan yang dinamik dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif.
Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pihaknya komited melahirkan sekurang-kurangnya 3,000 usahawan setiap tahun menjelang 2025 dan menggalakkan mereka menceburi bidang baharu, selari dengan peredaran zaman berteknologi kini.
Ujarnya, bagi memenuhi kehendak pasaran semasa, pihak MARA juga telah selangkah ke hadapan dengan mencari peluang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat industri digital seperti Macro Tech Venture Sdn. Bhd., seterusnya memudahkan usahawan baharu memulakan perniagaan mereka.
“Dalam membangunkan usahawan baharu, kita juga tidak meminggirkan usahawan sedia ada. Kita akan membantu lebih 50,000 usahawan sedia ada yang terjejas akibat pandemik terutamanya dalam bidang automotif, makanan dan minuman, perkhidmatan serta pembinaan supaya mereka tetap dapat meneruskan perniagaan.
“Ini adalah penting bagi memastikan syarikat tersebut dapat terus berdaya saing dan mampan walaupun dalam suasana krisis pada ketika ini.
“Selain itu, kita berikan juga bantuan kursus penggunaan aplikasi dalam talian dalam usaha mengembangkan pasaran perniagaan mereka sekali gus mempersiapkan mereka dalam era digitalisasi. Kita juga akan terus melaksanakan pinjaman bagi usahawan bumiputera,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan PSM 2021-2025 di sini, kelmarin.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman.
Menurut Azizah, selain pembangunan usahawan, pelan strategik tersebut turut dirangka untuk memperkasa ekonomi bumiputera menerusi tiga lagi teras iaitu menyumbang sumber tenaga manusia yang holistik, mempertingkat pelaburan strategik berteras keusahawanan, pendidikan dan perkhidmatan serta memantapkan sistem penyampaian dan tadbir urus.
Kata beliau, MARA akan melahirkan golongan profesional di samping menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dengan memperkasa teknikal, pendidikan vokaisonal dan latihan (TVET) seterusnya memperluas penglibatan bumiputera dalam bidang berimpak tinggi dan meneraju penajaan pendidikan bumiputera secara inklusif.
“Dari segi pelaburan, kita akan meneroka peluang pelaburan berpotensi dalam industri strategik bagi mempertingkat rantaian nilai industri, memperkukuh inisiatif aset bukan kewangan dan memperkukuh jaringan hubungan antara luar bandar.
“Dalam pada itu, MARA juga akan memperkukuh integriti tenaga kerja dan mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan tenaga kerja MARA mempunyai ilmu digital selaras dengan keadaan semasa yang mengutamakan digitalisasi,” tambahnya. – UTUSAN