PSMB HPC sasar sedia lebih 50,000 peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

PSMB HPC sasar sedia lebih 50,000 peluang pekerjaan

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menyasarkan dapat menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat Malaysia tahun ini menerusi portal sehenti HDRF Placement Centre (HPC). 

Portal sehenti itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini, akan memadankan majikan daripada pelbagai industri dan sektor dengan calon pekerja yang tepat untuk mengisi kekosongan jawatan, menawarkan peluang latihan dan meningkatkan kemahiran bagi mengatasi jurang kemahiran tenaga kerja.

Di samping itu, ia turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk berhubung dengan barisan jurulatih dan pelatih daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan bimbingan dan nasihat kerjaya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, HPC merupakan satu inisiatif yang melengkapi usaha kementerian untuk menangani cabaran pengangguran yang dihadapi oleh negara kesan daripada Covid-19. 

Ujarnya, setakat ini, portal sehenti itu menawarkan lebih 19,000 peluang penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan dengan kerjasama lebih 900 majikan dan rakan strategik.

“Dengan penempatan segera, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, kemahiran dan pengalaman akan dapat memperoleh sokongan dan bimbingan yang diperlukan untuk memulakan dan membina perjalanan kerjaya mereka,” katanya dalam Majlis Pelancaran HPC, di sini hari ini.

HPC turut dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan disaksikan oleh Pengerusi PSMB, Datuk Jamil Salleh serta Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood.

Dalam majlis tersebut, seramai 200 calon yang menggunakan portal sehenti HPC menerima surat tawaran pekerjaan sebagai simbolik pelancaran.

Sementara itu, Datuk Shahul Hameed memaklumkan, PSMB berbangga dapat mengumpulkan kesemua rakan strategik, majikan, penyedia latihan dan jurulatih kerjaya dalam satu platform untuk menangani kekurangan tenaga kerja pada masa kini di samping menampung keperluan pekerjaan negara untuk jangka panjang. 

“Selain itu, kami berhasrat menjadikan HPC sebagai pusat bagi tenaga kerja Malaysia mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka, seterusnya memastikan majikan tidak hanya mencipta peluang baharu, tetapi juga mendapatkan tenaga kerja terbaik yang sesuai dengan keperluan perniagaan dan industri mereka,” jelasnya. 

Rakyat Malaysia yang ingin mengakses pelbagai peluang perkhidmatan, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan dari HPC boleh melayari https://hpc.hrdf.com.my/.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya