Proton Commerce tingkat keluaran pinjaman - Utusan Malaysia

Proton Commerce tingkat keluaran pinjaman

Roslan Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan jualan kereta Proton Holdings Berhad (Proton) turut membantu meningkatkan prestasi anak syarikat pembiayaannya, Proton Commerce Sdn. Bhd.

Menurut Proton, hampir 4,000 pinjaman dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan anggaran sebanyak 1,700 dikeluarkan pada Mac sahaja.

“Angka terakhir setara dengan pertumbuhan 122 peratus pada Februari dan secara keseluruhan, pengeluaran untuk suku pertama tahun ini telah meningkat sebanyak 141 peratus berbanding 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Proton telah merekodkan jualan bulanan tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada Mac yang juga bulan jualan terbaik sejak September 2013.

Pada bulan berkenaan, Proton merekodkan jualan tempatan dan eksport sebanyak 14,989 unit, kenaikan 26.2 peratus berbanding Februari. Pegangan pasaran Proton dianggarkan mencapai 23.5 peratus bagi tempoh berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, walaupun peningkatan unit jualan kereta menjadi fokus pihaknya, pertumbuhan pengeluaran pinjaman oleh Proton Commerce adalah satu perkembangan yang penting.

“Ini membuktikan bahawa kami menawarkan pakej pembiayaan yang menarik kepada para pelanggan dan mampu bersaing dengan syarikat lain dalam pasaran pembiayaan automotif.

“Lebih penting, pelanggan dapat menikmati kemudahan pembelian dan pembiayaan bagi kereta Proton baharu mereka daripada pembekal kami, menjadikan pusat jualan kami sebagai pusat sehenti untuk semua keperluan Proton mereka,” katanya.

Proton bermula sebagai projek kereta nasional pertama negara yang diasaskan dengan tujuan memesatkan pembangunan ekonomi dan mewujudkan asas kukuh untuk industri automotif tempatan.

Pada 2017, Proton bergerak ke fasa seterusnya untuk menjadi jenama automotif moden dan bertaraf global melalui kerjasama antara DRB-HICOM dengan Zheijiang Geely Holdings Group.

 

Prestasi kereta Proton Mac 2021
—————
Model Jumlah jualan Pencapaian
—————————————————
Saga | 5,589 | Jumlah kedua tertinggi sedan segmen A
Persona | 2,151 | Jumlah ketiga tertinggi sedan segmen B
Exora | 584 | Jumlah tertinggi MPV segmen C
Iriz | 810 | Jumlah ketiga tertinggi hatchback segmen B
X70 | 2,337 | Jumlah tertinggi SUV segmen C
X50 | 3,513 | Jumlah kedua tertinggi SUV segmen B
————————————————————
Jumlah: 14,989

– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya