PETALING JAYA: Penggabungan Celcom Axiata Berhad (Celcom) dengan Digi.com Berhad (Digi) adalah langkah yang perlu diambil kedua-dua syarikat tersebut supaya ia terus relevan dalam sektor telekomunikasi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia,beberapa sumber yang dekat dengan perkara tersebut memberitahu, penggabungan tersebut akan memberikan kelebihan kepada Celcom dan Digi dari segi kekuatan modal dan kemajuan ekonomi.
Hal itu, menurut sumber tersebut, akan menguntungkan pelanggan-pelanggan Celcom dan Digi selepas ini kerana dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik serta teknologi terkini pada harga berpatutan.
“Di Malaysia, permintaan untuk pakej data internet sentiasa bertambah sehingga melangkaui bekalan. Ini akan menekan harga menjadi lebih rendah.
“Celcom dan Digi juga telah kehilangan banyak pendapatan daripada perubahan teknologi. Contohnya, dahulu mereka boleh jana pendapatan daripada sistem pesanan ringkas dan panggilan luar negara tapi sekarang tidak lagi.
“Untuk kekal relevan, mereka perlu meneroka peluang-peluang baharu dan semua ini memerlukan perbelanjaan modal (capex) yang besar,”katanya.
Sumber itu turut memberitahu, keputusan untuk bergabung dibuat ketika ini kerana Celcom beranggapan ia perlu dilakukan ketika syarikat itu berada dalam keadaan yang kukuh.
“Celcom beranggapan, ketika industri mengalami gangguan, adalah lebih baik untuk mengambil langkah drastik yang diperlukan ketika syarikat berada dalam keadaan kukuh.
“Jika mereka menunggu sehingga keadaan buruk, hutang tak boleh dibayar dan sebagainya, ia sudah terlambat,”katanya.
Terdahulu, pemilik Celcom dan Digi, Axiata Group Berhad dan Telenor Asia mengumumkan sudah berada dalam perbincangan lanjut untuk menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut dan tampil sebagai syarikat telekomunikasi terbesar negara dengan nama Celcom Digi Berhad (CDB).
Penggabungan tersebut menerima pelbagai reaksi, termasuk yang negatif apabila ada pihak melihat ia bakal mengukuhkan lagi dominasi oligopoli dalam pasaran telekomunikasi negara seperti dilaporkan Utusan Malaysia minggu lalu.
Menurut sumber tersebut, situasi oligopoli tidak akan wujud disebabkan masih banyak pesaing lain dalam pasaran telekomunikasi negara yang turut menguasai bahagian yang besar dalam pasaran. – UTUSAN