Peraturan pemangkin industri vape Malaysia - Utusan Malaysia

Peraturan pemangkin industri vape Malaysia

Dari kiri: Moderator, Muhammad Hazwan Hairul, Rizani Zakaria, Pankaj Kumar dan Khairil Azizi Khairuddin dalam perbincangan meja bulat bertajuk Industri Vape:Potensi Pemangkin Industri di Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejak 2010, vape atau rokok elektronik mula memasuki pasaran tempatan dan mendapat tempat dalam kalangan penduduk negara ini. Industri itu berkembang dengan pesatnya dan kini, ia dianggarkan bernilai RM2.27 bilion.

Pakar meramalkan industri ini bakal berkembang pesat dengan nilai pasaran mencecah RM10 billion dalam masa beberapa tahun lagi sekiranya ia diberikan satu rangsangan munasabah oleh kerajaan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dianggarkan terdapat lebih 3,300 perniagaan dijalankan berkaitan industri vape termasuk dalam sektor pengilangan, peruncitan dan import/eksport.

Kajian juga menunjukkan bahawa sejumlah RM450 juta telah dibelanjakan untuk membayar gaji 15,000 pekerja di dalam industri vape pada 2019.

Namun, sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan khusus digubal untuk mengawal selia industri ini. Jika terdapat satu penguatkuasaan yang menyeluruh, industri yang berdaya saing ini boleh berkembang dengan lebih pesat seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan akan mula mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021. Cecair rokok elektronik termasuk vape juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.

Bagaimanapun, cukai tersebut tidak termasuk cecair vape yang mengandungi nikotin walaupun hakikatnya sebanyak 97 peratus daripada produk yang terdapat di pasaran adalah cecair vape bernikotin dan tiada cukai atau pun undang-undang dilaksanakan terhadapnya.

Oleh yang demikian, adalah penting sistem cukai diperluaskan merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin dan peraturan diperkenalkan untuk menjamin kualiti dan piawaian produk, terutama berkaitan kebenaran dan pengawal seliaan penggunaan nikotin dalam cecair vape.

Baru-baru ini satu perbincangan meja bulat eksklusif bertajuk Industri Vape: Potensi Pemangkin Ekonomi telah diadakan oleh Utusan Malaysia bersama tiga ahli panel bagi membincangkan hala tuju industri. Tiga panel yang dijemput adalah Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), RIZANI ZAKARIA; Penganalisis Ekonomi dan Pelaburan, PANKAJ KUMAR dan pengguna vape, KHAIRIL AZIZI KHAIRUDDIN.

Berikut adalah intipati perbincang yang dijalankan.

Utusan: Industri vape berkembang dengan pesatnya walaupun tiada undang-undang khusus dikuat kuasakan oleh kerajaan. Mengapa kerajaan perlu membuat peraturan untuk mengawal selia industri ini?
Pankaj: Industri ini perlu dikawal selia dengan kawalan sewajarnya dengan peraturan dan percukaian kerana ia merupakan satu industri yang berkembang secara rancak. Ia boleh membantu kerajaan meningkatkan pendapatan daripada hasil cukai seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi. Industri vape juga menawarkan peluang pekerjaan dan mampu menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI). Malah, peraturan yang sewajarnya akan membolehkan industri ini berkembang dan bersaing di tahap global.

Rizani: Penggunaan vape di negara ini agak luas. Jika ada kawal selia daripada kerajaan, kita boleh memastikan kepenggunaan terkawal terutama memastikan adanya kualiti dan piawaian untuk produk dan menghalang produk ini jatuh ke tangan mereka yang di bawah umur. Dalam tinjauan pendapat yang dilakukan baru-baru ini, 80 peratus rakyat Malaysia mahu kerajaan mengambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape. Namun, kerajaan masih belum ambil tindakan untuk membuat peraturan untuk industri ini.

Khairil: Sebagai pengguna, kami menyokong sebarang tindakan yang diambil kerajaan dalam mewujudkan undang-undang khusus. Kami mahu menggunakan produk berkualiti yang terkawal dari segi piawaian serta terjual dengan kawalan di sisi undang-undang. Pada masa ini, pengguna tiada pilihan kecuali menggunakan produk yang tidak terkawal kerana ketiadaaan peraturan di Malaysia.

Baru-baru ini, ada laporan daripada persatuan vape / industri yang mengatakan industri vape bernilai RM2.27 bilion di Malaysia. Bolehkah pihak industri berikan pandangan?
Rizani: Secara global, ramai yang sedar vape adalah alternatif kurang mudarat berbanding rokok, terutamanya perokok. Oleh itu, ramai perokok telah beralih menggunakan vape dan berhenti merokok.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 1.12 juta pengguna vape di Malaysia atau 5 peratus daripada jumlah populasi penduduk. Ini adalah satu angka yang agak besar.

Jadi, nilai industri vape yang semakin berkembang ini bukannya satu perkara yang mengejutkan kerana peralihan daripada perokok mula menggunakan vape sebagai langkah berhenti merokok atas sebab ia kurang mudarat adalah satu perkara yang sedang berlaku di seluruh dunia. Ini adalah salah satu sebab industri semakin berkembang di Malaysia.

Dalam perkembangan yang sama, industri vape ini telah melahirkan lebih daripada 3,000 perniagaan yang khusus dalam vape dengan lebih daripada 15,000 pekerjaan dalam industri ini. Malah kebanyakan perniagaan dalam industri ini diusahakan usahawan tempatan dan bumiputera.

Dalam perkara ini, kita patut merasa bangga dengan pencapaian industri tempatan dan usahawan bumiputera yang telah memacu perkembangan industri vape di negara. Malah, banyak produk yang dihasilkan mendapat pengiktirafan dan sambutan baik di tahap global dan rantau.

Perkembangan dan potensi industri vape di Malaysia ini adalah sesuatu yang perlu diambil kira kerajaan. Dengan peraturan yang sewajarnya, ia akan membolehkan industri vape Malaysia mencapai kejayaan yang lebih tinggi dan bersaing di tahap dunia.

Apakah potensi industri vape dalam sumbangannya kepada ekonomi?
Rizani: Menurut kajian yang dibuat, industri vape di Malaysia dianggarkan bernilai RM2.2 bilion dengan melahirkan banyak usahawan tempatan serta peluang pekerjaan yang telah diwujudkan. Nilai ini adalah hasil daripada usaha industri tempatan selama ini tanpa polisi galakkan daripada kerajaan.

Sekiranya, kerajaan mengambil langkah menetapkan hala tuju yang jelas dengan memperkenalkan polisi dan peraturan yang sewajarnya, ia berupaya mencapai potensi lebih tinggi. Sebagai contoh, sehingga kini peraturan masih tidak diperkenalkan walaupun pada masa ini terdapat percukaian ke atas produk. Namun, cukai tersebut hanya dikenakan ke atas cecair vape tanpa nikotin. Cecair vape yang mengandungi nikotin merupakan produk paling banyak dalam pasaran iaitu kira-kira 97 peratus. Dari segi ini, hasil kutipan cukai tidak dapat dimaksimumkan maka, hasil kerajaan dari cukai ke atas vape tidak akan mencapai sasaran utamanya. Dari segi perkembangan industri pula, dengan wujudnya hala tuju yang jelas daripada kerajaan, ia akan membuka peluang dan mencetuskan pengganda ekonomi seperti menarik pelaburan domestik dan asing untuk membolehkan peningkatan dalam inovasi, kualiti dan piawaian produk yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri ini.

Pankaj: Industri vape tanah air mempunyai potensi yang besar untuk berkembang sekiranya terdapat garis panduan yang komprehensif. Saya anggarkan nilai pasaran vape akan meningkat kepada RM10 bilion jika ia dikawal selia dengan teliti. Ini kerana, ia bukan sahaja terhad kepada pasaran domestik, malah di tahap global di mana industri vape ini telah berkembang dengan pesat di seluruh dunia. Dengan polisi yang komprehensif daripada kerajaan dalam industri ini, ia akan membolehkan industri Malaysia bersaing di tahap global kerana terdapat permintaan global yang tinggi ke atas produk ini.

Banyak kajian antarabangsa telah menyatakan vape kurang mudarat berbanding merokok. Ramai perokok telah beralih kepada vape. Apakah pandangan anda semua berkenaan perkara ini?
Rizani: Kajian yang dilakukan oleh Public Health England (PHE), agensi kesihatan UK, mendapati vape kurang mudarat dan mempunyai risiko jauh lebih rendah berbanding rokok. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya badan kesihatan awam dan badan berkenaan pemberhentian merokok dan kawalan tembakau, turut menyokong pendirian yang dibuat PHE. Sebagai contoh, British Medical Association, National Cancer UK, Action on Smoking and Health (ASH) UK. Badan-badan ini bukan sekadar menyokong pendirian tersebut malah turut membuat kajian bebas mereka tersendiri dan mendapati hasil yang selari dengan kajian PHE.

Bukan sahaja di UK. Di New Zealand, pendirian yang sama diambil Kementerian Kesihatannya. Baru-baru ini, mereka melancarkan kempen berhenti merokok dengan menggunakan vape dipanggil QUITSTRONG. Ia menggalakkan peralihan perokok kepada produk vape dan turut memberikan kesedaran risiko penggunaan vape yang dilihat hanya mempunyai segelintir risiko berbanding merokok.

Ini semua kerana adanya pengiktirafan daripada kerajaan masing-masing bahawa produk tersebut memainkan peranan sebagai produk yang kurang mudarat berbanding rokok dan ia boleh membantu perokok berhenti merokok sebagai alternatif yang efektif.

Khairil: Sebagai bekas perokok, pengalaman dalam cubaan untuk berhenti merokok sebelum ini agak sukar sehinggalah saya mula menggunakan vape.

Pada mulanya, saya juga ragu-ragu sama ada penggunaan vape akan membantu saya berhenti merokok dan sama ada akan ada risiko penggunaannya.

Setelah meneliti maklumat yang ada di peringkat antarabangsa, penggunaan vape memang ada risikonya. Tetapi kajian telah menunjukkan, risikonya jauh lebih rendah dan terdapat kajian mengatakan ia adalah 95 peratus kurang mudarat berbanding merokok dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok. Malah di UK, produk ini dijual di hospital sebagai produk pengguna untuk membantu perokok berhenti merokok. Jadi saya mula menggunakan vape dan sejak itu, saya telah berhenti merokok.

Dari perspektif seorang pengguna, walaupun produk ini ada kebaikannya, perlu diakui ia juga ada risiko terutamanya pada masa ini di Malaysia, produk ini tidak ada peraturan dan kawalan dari segi kepenggunaannya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya