Pepsi, 7-Eleven perkenal kedai konsep revolusi - Utusan Malaysia

Pepsi, 7-Eleven perkenal kedai konsep revolusi

Konsep baharu kedai 7-Eleven di Damansara, Kuala Lumpur, hasil kerjasama syarikat itu dengan jenama minuman Pepsi yang mencetuskan suasana unik kepada pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama minuman terkemuka, Pepsi mengumumkan kerjasama dengan rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven dalam melancarkan Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi yang pertama di Malaysia terletak di DA Square, Damansara Avenue, di sini.

Kedai konsep revolusi itu bukan sahaja mempamerkan jenama minuman, tetapi turut memberikan pengalaman yang unik kepada pelanggan melalui aktiviti di kedai yang menarik dan pilihan penawaran yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Etika Holdings Sdn. Bhd. Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi berkata, idea tersebut tercipta kerana semangat jenama Pepsi yang menerapkan sikap berani bereksperimentasi dan mencipta pengalaman baharu untuk dinikmati pelanggan secara menyeluruh.

Ujarnya, pelanggan juga akan menikmati penawaran baharu, pengalaman berbeza dan berpeluang membeli barangan Pepsi dan koleksi peminat Blackpink daripada kempen Pepsi x Blackpink yang menarik.

“Melangkah masuk ke dalam kedai konsep ini, pelanggan dapat mengalami beberapa aktiviti interaktif seperti floor projections, cermin infiniti dan lagu kumpulan terkenal Korea, Blackpink sebagai muzik latar.

Malah, permainan interaktif pong dan kawasan foto neon disediakan untuk mendapatkan gambar yang menarik sebelum dimuat naik ke laman sosial.

“Selain itu, 7-Eleven x Pepsi juga mempunyai ruangan kafe untuk kemudahan pelanggan makan dan berehat. Secara kese­luruhan, kedai konsep ini memberikan pelanggan pengalaman baharu tidak seperti ketika mereka membeli secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Wong Wai Keong berkata, melalui kerjasama ini, pihaknya akan terus mengukuhkan kedudukan 7-Eleven sebagai jenama pusat persinggahan dengan kemudahan sehenti terkemuka.

“Kedai konsep ini turut menawarkan pelbagai jenis makanan segar seperti onigiri, sandwich, pelbagai jenis roti dan snek terkenal kami yang dikenali sebagai ‘cocok’ dengan pilihan sos celup yang enak,” katanya.
Tambah Wai Keong, pelbagai tawaran eksklusif dan peraduan menarik menanti pengunjung bersempena pelancaran Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi.

“Pepsi telah mengumumkan peraduan media sosial yang menarik bagi menggalakkan orang ramai untuk mengunjungi kedai ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya