KUANTAN: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilihat kurang efektif berbandig Pengajaran dan Pembelajaran secara bersemuka, kerana ia tidak membantu rakyat terutama mereka yang menghadapi masalah membeli gajet dan internet.
Mengambil kira keberkesanan PdP dalam membantu meningkatkan penguasaan pelajar, maka guru-guru, ibu bapa dan pelajar yang ditemui sepakat mahukan kaedah itu terus dilaksanakan, tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tambahan pula, pelaksanaan PdPR sebelum ini sememangnya memberi cabaran yang bukan sedikit kepada tiga kelompok ini kerana pelbagai aspek perlu diberi penekanan terutama cara penyampaian guru, tempoh pengajaran, penggunaan gajet dan internet, moral, akhlak dan disiplin kalangan pelajar.
Pengetua Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Mohd. Azmi Othman berkata, PdP bersemuka wajar diteruskan bagi membolehkan pelajar mengikuti proses pembelajaran dengan lebih berkesan.
“Kaedah pengajaran terbaik adalah PdP secara bersemuka di sekolah kerana pelajar akan lebih fokus dan lebih mudah memahami setiap subjek. Bukan PdPR tidak berkesan tetapi impak pertemuan bersemuka itu adalah yang terbaik.
“Empat elemen pengajaran yang diguna pakai iaitu memberitahu, memberi penjelasan, membimbing dan tunjuk ajar yang digunakan ketika PdPR agak kurang berkesan kerana bukan semua pelajar berpeluang mengikutinya.
“Apabila kita memasukkan elemen dorongan emosi dan minda ia secara tidak langsung dapat membantu pelajar menguasai pelajaran dan ia boleh diperoleh menerusi pelaksanaan PdP secara bersemuka,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Guru subjek Pendidikan Islam, Sovri Ismail juga bersetuju PdP diteruskan bagi mengelak pelbagai masalah yang timbul dalam kalangan pelajar.
“PdPR banyak menimbulkan masalah kalangan sebahagian keluarga kurang berkemampuan seperti kesukaran mendapatkan talian internet , gangguan adik-beradik, berkongsi gajet dan laptop kalangan adik-beradik dan beberapa masalah lain.
“Semua ini mengganggu proses pembelajaran secara dalam talian termasuk subjek Pendidikan Islam yang ada teori dan amali. Amali solat dan bacaan al-Quran perlu diajar secara bersemuka dan sebab itu pentingnya PdP, kita boleh nampak kesilapan pelajar,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMART, Nur Sham Amir Husin, juga bersetuju PdP terus dilaksanakan bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar menuntut ilmu dengan lebih berkesan dan prestasi pelajaran dapat dipertingkatkan.
“Sejak PdPR dilaksanakan kita dapati banyak rungutan dan pelbagai masalah yang timbul terutama dari segi kewangan kerana ibu bapa perlu menyediakan gajet dan internet untuk memudahkan anak mengikuti proses pembelajaran dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar ditemui mengakui PdP di sekolah membantu mereka fokus dalam pembelajaran berbanding PdPR.
Malah, mereka turut mengakui belajar dengan kaedah PdPR mencabar menyebabkan mereka tertekan dan boleh menjejaskan pencapaian.
Bagi pelajar Tingkatan 5, Vida Adriana Richard, 17, PdP secara bersemuka membolehkannya lebih fokus di dalam kelas.
“Sewaktu belajar dalam kelas, kami dapat bertanya secara terus dan bersemuka dengan guru jika tidak memahami sesuatu perkara.
“Ia tidak sama jika belajar secara dalam talian terutama untuk subjek yang bermain dengan angka dan konsep seperti matematik, komputer dan kimia,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Mohamed Shafiq Nazrin Mohd. Sharim, 17, mahu Pdp secara bersemuka terus dilaksanakan bagi memudahkan dia mengikuti pelajaran dengan lebih fokus dan bersistematik.
“Proses PdPR sebelum ini menyebabkan saya berasa tertekan dan kurang memahami subjek diajar guru seperti subjek grafik komputer dan Bahasa Arab.
“Sebagai contoh, untuk subjek Bahasa Arab, saya perlu bimbingan rapat dengan guru untuk praktikkan apa yang terkandung dalam silibus tetapi sukar untuk ikuti menerusi PdPR,” katanya. – UTUSAN