PETALING JAYA: Pasaran buruh negara dijangka meningkat secara marginal tahun ini setelah terjejas berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi tahun lalu sehingga kadar pengangguran mencecah lebih empat peratus buat pertama kalinya dalam tempoh hampir tiga dekad.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan kes jangkitan harian Covid-19 kekal tinggi, namun pembukaan semula kebanyakan aktiviti perniagaan dapat membantu mengekalkan momentum serta mengimbangi kesan ekonomi dan kepentingan kesihatan.
“Dengan fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong oleh pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program vaksinasi pada tahun ini diharap dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan.
“Ini sekali gus membantu mempercepat pemulihan pasaran buru walaupun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan di Malaysia,” katanya dalam Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2020.
Mohd. Uzir memaklumkan, kedudukan tenaga buruh Malaysia terjejas menyebabkan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus tahun lalu berbanding 3.3 peratus pada 2019.
“Ketika krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus dengan pertambahan melebihi 200,000 orang penganggur.
“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun lalu dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan.
“Justeru, menjelang akhir 2020, didapati tenaga buruh menunjukkan pemulihan dengan momentum perlahan,” ujarnya.
Mengulas mengenai situasi tenaga buruh tahun lalu, beliau menjelaskan, tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang berbanding 15.6 juta orang tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun katanya, tidak seperti tempoh pra-krisis, didapati peningkatan tenaga buruh pada tahun ini adalah disebabkan oleh pertambahan dalam bilangan penganggur.
“Ssebahagian kecil tenaga buruh didapati beralih kepada kumpulan tidak aktif di mana bilangan luar tenaga buruh meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 7.2 juta orang berbanding 7.1 juta orang pada 2019.
“Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menurun 0.3 peratus kepada 68.4 peratus,” jelasnya.
Tambah beliau, bilangan penganggur tahun lalu bertambah sebanyak 39.9 peratus kepada 711,000 orang berbanding 508,200 orang pada 2019.
“Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat sebanyak 40.4 peratus kepada 514,200 orang berbanding 366,200 orang pada 2019. Hampir separuh daripada penganggur aktif (46.5 peratus) adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan,” katanya. – UTUSAN