Nilai sumber mineral negara RM4.11 trilion - Utusan Malaysia

Nilai sumber mineral negara RM4.11 trilion

Muhyiddin Yassin melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 di Hotel Marriot Putrajaya, semalam. – utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berpotensi menjadi negara tumpuan di peringkat global sebagai hab penting dalam pembangunan industri mineral pada masa akan datang sekiranya ia dipacu dengan matlamat yang jelas dan transformasi lebih agresif.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, negara amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian sumber mineral yang berpotensi untuk diusaha hasilkan secara optimum.

Katanya, berdasarkan kajian tinjauan awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menganggarkan nilai sumber mineral negara adalah berjumlah RM4.11 trilion yang merangkumi mine­ral logam (RM1.03 trilion), mi­neral bukan logam (RM2.96 tri­lion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion).

“Walaupun nilai ini masih merupakan anggaran, hakikat yang perlu kita ketahui adalah Malaysia mempunyai sumber mineral yang sangat bernilai dan mampu menjadi sebahagian kepada penyumbang utama kemajuan ekonomi negara,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Shamsul Anuar berkata, melihat kepada kewujudan kepelbagaian sumber mineral yang tersebar di seluruh negara, ia bukan sahaja memberikan pendapatan kepada negara, malah memberi banyak manfaat kepada kemajuan ekonomi ne­geri-negeri melalui aktiviti perlombongan dan pengeksportan bahan mineral yang dijalankan.

Namun begitu, katanya, dalam kerancakan untuk me­neroka potensi bahan mine­ral itu, ia dipandang memberi impak kerosakan terhadap alam sekitar, sistem biodiversiti negara dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Justeru, kata beliau, pihak kementerian bertanggungjawab memastikan sumber mineral diuruskan secara efisien dan bertanggungjawab dengan mem­beri penekanan terhadap prinsip kebertanggungjawaban dan kemampanan dalam menjalankan aktiviti perlombongan, pengeksplorasian, pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan mineral.

Katanya, aspek itu akan dijadikan sebagai agenda utama kementerian agar ia memberi impak langsung kepada rakyat serta pada masa sama tidak membawa kesan negatif kepada alam sekitar, biodiversiti dan hutan.

Bagi tujuan tersebut, beliau berkata, pihaknya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang pembangunan industri mineral negara, iaitu di antara JMG dengan syarikat Ranhill Berhad dan Dewan Perlombongan Malaysian (MCOM).

Mengenai kerangka Pelan TIM 2021-2030, beliau berkata, ia menyediakan perancangan bersifat terangkum dengan menyasarkan untuk membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya