BENGALURU: Microsoft Corp. kini dalam rundingan akhir untuk membeli syarikat kecerdasan buatan dan teknologi ucapan, Nuance Communications Inc.
Sumber yang rapat dengan perkara tersebut memberitahu Reuters, Microsoft akan membelanjakan kira-kira AS$16 bilion (RM66.21 bilion) untuk pembelian tersebut.
Menurut sumber tersebut, harga yang dirunding mungkin meletakkan nilai Nuance pada kira-kira AS$56 (RM231.74) sesaham.
Nilai tersebut akan meletakkan nilai ekuiti Nuance pada AS$16 bilion, menurut data yang dikumpulkan Bloomberg.
Harga tersebut adalah premium 23 peratus berbanding harga penutupnya pada Jumaat lalu.
Sumber itu memberitahu, pengumuman berkenaan perjanjian pembelian tersebut mungkin akan dibuat minggu ini.
Bloomberg News, media pertama melaporkan rundingan antara Nuance dengan Microsoft berkata, perbincangan masih berlangsung dan kemungkinan ia akan gagal masih ada.
Teknologi pengesanan suara Nuance membantu melancarkan aplikasi pembantu Apple Inc., Siri dan mereka telah menghasilkan pelbagai perisian untuk pelbagai sektor daripada penjagaan kesihatan ke industri automotif.
Rundingan bersama Nuance akan menjadi pembelian kedua terbesar Microsoft selepas syarikat itu membeli LinkedIn dengan harga AS$26.2 bilion (RM108.42 bilion) pada 2016.
Kedua-dua pihak, Microsoft dan Nuance tidak memberikan maklum balas segera kepada Reuters.
Saham Nuance meningkat 3.4 peratus tahun ini, menjadikan penilaian pasaran syarikat itu mencecah hampir AS$13 bilion (RM53.80 bilion). – AGENSI