MHB peroleh kontrak EPCIC SapuraOMV  - Utusan Malaysia

MHB peroleh kontrak EPCIC SapuraOMV 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) melalui anak syarikatnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) berjaya mendapatkan kontrak daripada SapuraOMV Upstream (Sarawak) Inc. untuk projek pembangunan SK408W Jerun di luar pesisir Sarawak.

Menurut MHB, kontrak tersebut adalah untuk perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan, pengangkutan dan pentauliahan (EPCIC) projek itu.

Jelas syarikat itu, kontrak tersebut merangkumi kerja-kerja pembinaan untuk kira-kira 15,000 tan metrik bahagian atas, 10,000 tan metrik jaket dan 5,000 tan metrik cerucuk untuk Platform Pemprosesan Pusat (CPP).

“Ia termasuk reka bentuk kejuruteraan saluran paip besi karbon 30 inci dengan kepanjangan bersamaan jarak 80 kilometer dari CPP ini ke platform E11R-B sedia ada untuk digabungkan bersama talian pokok ke jana kuasa LNG Petronas Malaysia di Bintulu, Sarawak.

“Apabila selesai, fasiliti tersebut akan dipasang di kawasan telaga gas Jerun yang terletak di Blok SK408W di luar pesisir Bintulu,” katanya dalam kenyataan.

Blok SK408W dioperasikan oleh SapuraOMV Upstream (Sarawak) Inc. dengan Sarawak Shell Berhad dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. masing-masing memegang 30 peratus kepentingannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Pandai Othman berkata, penganugerahan kontrak tersebut adalah pengiktirafan kepada keupayaan teknikal dan kebolehsaingan komersial MHB dalam industri dan menunjukkan kemampuan syarikat itu dalam men yediakan penyelesaian berintegrasi dan bernilai tambah.

Kata beliau, dengan kemahiran, pengalaman dan tenaga kerja yang ada, MHB sepenuhnya komited untuk melaksanakan projek tersebut dengan selamat, menepati masa serta memenuhi keperluan kualiti ketat yang dimahukan pelanggan.

“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, industri ini sedang pulih daripada kelembapan pada 2020 akibat harga minyak yang rendah dan pandemik Covid-19, menyebabkan pengurangan perbelanjaan modal (capex) oleh syarikat minyak dan gas gergasi.

“Tahun 2021 dijangka menjadi tahun untuk kami pulih dan tiada cara yang lebih baik untuk memulakannya selain daripada projek EPCIC besar seperti Jerun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya