Kenanga Investors, MFPC lancar Program Perancangan Kewangan - Utusan Malaysia

Kenanga Investors, MFPC lancar Program Perancangan Kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investors Berhad komited dalam memastikan perancangan kewangan kekal relevan serta menambah baik kerjaya pengamal kewangan menerusi dua program dengan kerjasama Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).

Program kelayakan profesional bagi sijil Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) dan Perancang Kewangan Syariah Berdaftar yang dilancarkan dilihat mampu melahirkan perancang kewangan yang cekap serta memiliki kelayakan profesional. 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, program tersebut adalah bagi menggalakkan peningkatan kefahaman dalam perancangan kewangan berbanding pendekatan berasaskan produk. 

“Dengan pelancaran program ini, kami menjangkakan tenaga jualan agensi syarikat serta kakitangan baharu akan memenuhi keperluan pelesenan sebelum menjadi perancang kewangan yang terlatih sepenuhnya. 

“Kami akan memastikan tenaga kerja agensi Kenanga Investors dan Pengurus Private Wealth menyertai program secara sistematik mengikut kesediaan dan pengambilan yang dijadualkan. Kerjasama ini akan memastikan kami berupaya menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan yang akan menambah nilai holistik kepada perjalanan kewangan pelanggan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Presiden MFPC, Vincent Kwo Shih Kang memaklumkan, kerjasama strategik ini adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat baru-baru ini oleh pihak berkuasa pengawalseliaan yang berhasrat memperluas skop perancang kewangan.

“MFPC akan memantau pengurusan hal ehwal program secara keseluruhan termasuk membangun dan mengemas kini kandungan program dari semasa ke semasa, memantau kualiti dan melakukan penilaian, serta menganugerahkan sijil kepada peserta yang memenuhi kelayakan. 

“Kami komited terhadap usaha menyokong pertumbuhan profesion perancangan kewangan menerusi pendekatan aktif ini yang akan mendatangkan faedah yang besar kepada pelabur baharu yang semakin bertambah khususnya berikutan wujudnya minat yang lebih tinggi terhadap pelaburan dalam tempoh pascapandemik,” jelasnya.

Kenanga Investors akan membantu MFPC untuk mendidik peserta tentang tanggungjawab mereka sebagai perancang kewangan, tingkah laku profesional mereka dan peraturan serta standard yang berkaitan sepanjang berlangsungnya program ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya