Jualan Proton tertinggi sejak September 2013 - Utusan Malaysia

Jualan Proton tertinggi sejak September 2013

Saga antara model terlaris Proton di pasaran domestik dan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) terus merekodkan prestasi memberangsangkan pada tahun ini apabila merekodkan jualan sebanyak 14,989 unit pada Mac, tertinggi sejak September 2013.

Ia membabitkan jualan tempatan dan import, merupakan kenaikan sebanyak 26.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurut Proton, pencapaian itu menyaksikan pegangan pasaran Proton mencapai 23.5 peratus dan secara keseluruhan, ia kekal pada kedudukan kedua dalam jadual penjualan.

Untuk suku pertama tahun ini, syarikat automitif negara itu mencapai jualan terkumpul sebanyak 32,826 unit dan angka itu adalah tertinggi dalam bahagian pasaran suku tahunan sejak Mac 2012.

Jelasnya, Proton Saga kekal model paling laris dengan sebanyak 5,589 unit telah dihantar, meningkat 32.5 peratus berbanding Februari lalu.

Model lain iaitu Persona, Iriz dan Exora mencatatkan angka terbaik mereka. Bagi Proton X50 pula, sebanyak 3,513 unit telah dihantar kepada pelanggan, manakala X70 menunjukkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 58.4 peatus kepada 2,337 unit.

Mengulas pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, setelah permulaan yang agak lemah, industri automotif negara akhirnya mencapai kemajuan pada tahun ini.

“Kami menganggarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) melebihi 63,000 unit, menunjukkan semua jenama akan mencatatkan jumlah terbaik mereka tahun ini.

“Bagi Proton, Mac adalah bulan penjualan yang sangat baik kerana kami mencapai angka tertinggi bagi tempoh 90 bulan, tetapi merasakan pencapaian kami berkurangan kerana ia boleh dipertingkatkan sekiranya kami dapat menghasilkan lebih banyak unit,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Roslan, buat masa ini, Proton masih memiliki banyak pasaran untuk dipenuhi dan akan berusaha meningkatkan pengeluaran dalam beberapa bulan ini.

Syarikat juga katanya, akan kekal fokus dalam penyampaian produk berkualiti tinggi kepada pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya