TOKYO: Japan Investment Corp. (JIC) dan Norinchukin Bank mempertimbangkan untuk mengambil alih Toshiba Corp, lapor Nikkan Kogyo Shimbun, semalam.
Pertimbangan tersebut dilihat lebih sesuai untuk pihak berkuasa dan pengurusan syarikat berbanding tawaran yang dikemukakan oleh pelabur-pelabur asing.
Menurut laporan itu, CVC Capital Partners yang telah mengemukakan tawaran awal kepada Toshiba, berkemungkinan akan menyertai bidaan untuk menguasai konglomerat tersebut, namun syarikat-syarikat Jepun dijangka mengetuai bidaan.
Jelas akhbar berkenaan, dana milik kerajaan turut berkemungkinan menyertai bidaan.
JIC bagaimanapun enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi Reuters, manakala Norinchukin pula gagal dihubungi.
CVC sebelum ini telah mengemukakan tawaran sebanyak AS$20 bilion (RM82.46 bilion) untuk mengambil alih Toshiba dan dijangka memberikan perincian tawaran tersebut dalam masa terdekat.
Pengerusi Lembaga Pengarah Toshiba sebelum ini mengkritik tawaran dikemukakan CVC dengan menyifatkannya sebagai “kurang berasas”, dan perlu pertimbangan yang berhati-hati kerana ia membabitkan pelaburan asing dalam syarikat Jepun dengan teknologi strategik.
Sebagai contoh, teknologi dibangunkan Toshiba digunakan dalam pengendalian peluru berpandu dan lain-lain sistem pertahanan.
Media turut menamakan KKR & Co. Inc. dan Brookfield bakal mengemukakan tawaran kepada Toshiba. Nikkei kelmarin melaporkan, CVC merancang untuk bekerjasama dengan Bain Capital dalam usahanya memiliki Toshiba.
Laporan itu muncul sehari selepas Toshiba melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu selepas kontroversi muncul membabitkan bekas CEO, Nobuaki Kurumatani yang meletak jawatan kelmarin selepas dikritik membabitkan isu-isu urus tadbir.
Toshiba berkata, Kurumatani akan digantikan oleh Pengerusinya, Satoshi Tsunakawa berkuat kuasa serta-merta dan akan mencari pengganti beliau dalam waktu terdekat. – AGENSI