SINGAPURA: Kerajaan Hong Kong dan Singapura bersetuju untuk menetapkan 26 Mei sebagai tarikh pelancaran Gelembung Pelancongan Udara Singapura-Hong Kong.
Pengesahan tersebut dicapai semalam, sehari selepas Bloomberg mendedahkan perkara tersebut.
Gelembung udara tersebut pada asalnya dirancang untuk bermula pada November lalu, namun kedua-dua pihak tidak bersetuju disebabkan situasi Covid-19 yang semakin parah ketika itu.
Menurut kenyataan oleh Kementerian Pengangkutan Singapura, kedua-dua negara telah menyemak perjanjian dan membuat beberapa penambahbaikan termasuk syarat yang lebih ketat untuk meneruskan gelembung pelancongan tersebut.
Situasi Covid-19 di Hong Kong semakin baik dengan beberapa kes jangkitan Covid-19 tempatan manakala kes komuniti di Singapura kekal rendah.
Menurut kementerian tersebut, profil risiko kedua-dua negara kini setara dan kedua-dua negara akan memerhatikan situasi pandemik sehingga pada tarikh pelancaran gelembung tersebut.
Pelancaran itu akan diteruskan jika keadaan kekal terkawal di kedua-dua buah negara.
Gelembung pelancongan itu akan bermula dengan satu penerbangan sehari untuk setiap arah, terhad kepada 200 penumpang untuk setiap penerbangan bagi dua minggu pertama.
Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung berkata, pihaknya gembira kerana situasi pandemik di Hong Kong telah terkawal.
“Ia beberapa bulan yang panjang tetapi situasi kini adalah yang terbaik untuk melancarkan semula gelembung pelancongan udara.
“Kedua-dua pihak perlu kekal berhati-hati dalam tempoh sebulan selepas ini, supaya penerbangan pertama dapat dilancarkan dengan baik.
“Ini gelembung penerbangan yang penting untuk dua hab penerbangan dan perkhidmatan kewangan di Asia,” katanya.
Setiausaha Pembangunan Perdagangan dan Ekonomi Hong Kong, Edward Yau berkata, perbincangan lanjut bersama Singapura berkaitan gelembung pelancongan itu dapat dilakukan selepas Hong Kong berjaya beransur-ansur menstabilkan gelombang keempat epidemiknya.
“Kedua-dua kerajaan mencapai kata sepakat terhadap aturan terbaharu dan akan melaksanakan protokol kesihatan awam yang lebih ketat berikutan perkembangan terbaharu epidemik.
“Matlamat kami kekal untuk meletakkan keseimbangan yang tepat antara kesihatan awam dengan keselesaan pelancongan supaya orang ramai berasa lebih terjamin,” katanya. – AGENSI