PETALING JAYA: Honda Malaysia mengumumkan penarikan balik tambahan sebanyak 77,708 kenderaannya membabitkan penggantian pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga.
Honda dalam satu kenyataan memberitahu, model kenderaan yang terjejas ialah, Accord 2018 dan 2019, BRV 2018 dan 2019, City 2019, City (HEV) 2019, Civic 2018 dan 2019, CR-V 2019 dan 2020, HR-V 2018, Jazz 2019 dan 2020 serta Jazz (HEV) 2019 dan 2020.
“Kami mohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pelanggan. Kami yakin semua model yang dijual sekarang tidak terlibat dalam penarikan semula itu.
“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia, jadi kami akan mengamalkan sikap telus dan kawalan ketat untuk pelanggan,” katanya dalam kenyataan itu.
Jelasnya, penarikan semula produk itu perlu dilakukan sebagai langkah untuk mencegah kesukaran memulakan enjin, kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti.
Syarikat itu berkata, semua pelanggan yang terjejas akan diberitahu melalui surat yang mempunyai perincian produk yang harus ditarik semula itu.
Ujarnya, pelanggan juga boleh memeriksa jika kenderaan mereka terlibat dengan perkara itu melalui aplikasi Honda Touch.
Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana penjual kereta Honda yang sah untuk membuat temujanji setelah menerima surat untuk menggantikan pam bahan api.
“Penggantian pam untuk pelanggan yang terjejas akan dilakukan secara percuma dan kos berkaitan dengan aktiviti penggantian akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok itu juga akan disediakan secara berperingkat.
“Sehingga hari ini, tiada laporan kemalangan atau kecederaan yang berlaku disebabkan oleh masalah itu di Malaysia,” katanya. – UTUSAN