BENGALURU: Harga emas meningkat sehingga AS$1,800 (RM7,400.70) seauns untuk mencapai paras tertingginya dalam tempoh hampir dua bulan, disokong kelemahan dolar Amerika Syarikat kerana penurunan hasil Perbendaharaan.
Harga emas jongkong stabil pada AS$1,793.32 (RM7,373.24) seauns, iaitu paras tertinggi sejak 25 Februari lalu yang mencatat AS$1,797.67 (RM7,391.12) seauns. Niaga hadapan emas AS tidak berubah pada AS$1,793.70 (RM7,374.80) seauns.
Penganalisis IG Market, Kyle Rodda berkata, apa yang jelas menyokong kenaikan harga emas adalah dinamik dalam Perbendaharaan AS yang mendorong lebih rendah dalam jangka masa pendek.
“Penurunan hasil di bawah 1.5 peratus membantu mendorong emas ke atas tahap AS$1,800 (RM7,400.70).
“Peningkatan sentimen pasaran dalam sekelip mata dan pengaruhnya terhadap dolar AS membantu emas kembali naik dan menguji kedudukan teratas pada tahap terakhir,” kata Rodda.
Tanda aras hasil Perbendaharaan AS dalam tempoh 10 tahun adalah di bawah 1.6 peratus. Indeks dolar bertahan di paras hampir rendah beberapa minggu berbanding kebanyakan mata wang utama.
Peserta pasaran kini menunggu mesyuarat Bank Pusat Eropah dijadualkan esok dan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS minggu hadapan.
Sementara itu, paladium meningkat 0.1 peratus kepada AS$2,877.12 (RM11,829.28) seauns, setelah melonjak ke paras tertinggi kepada AS$ 2,891.20 (RM11,887.17) seauns, kelmarin.
“Persekitaran perdagangan yang ketat mendorong kenaikan harga logam kerana permintaan automotif tetap mengukuh. Walaupun Nornickel memgembalikan pengeluaran dua lombong PGM (Platinum Group Metals), pasaran tetap berhati-hati dengan kelebihan bekalan,” tulis penganalisis HSBC dalam sebuah catatan.
Logam pemangkin automatik telah meningkat hampir 25 peratus sejak pengeluar logam terbesar di dunia, Nornickel, menghentikan sebahagian operasi di dua lombongnya pada akhir Februari.
Selain itu, harga perak turun 0.5 peratus kepada AS$26.45 (RM108.75) seauns manakala platinum merosot 0.2 peratus kepada AS$1,211.32 (RM4,980.34). – AGENSI