LONDON: Facebook Inc. akan mengumumkan beberapa produk berasaskan audio baharu seperti aplikasi audio sosial Clubhouse yang membolehkan pengguna mengadakan perbincangan maya selain melancarkan produk podcast yang dibantu Spotify Technology S.A.
Menurut Recorde, beberapa produk hanya akan tersedia selepas musim bunga. Perancangan itu merangkumi versi Bilik Sembang versi audio sahaja. Ciri sembang video pada Facebook diperkenalkan tahun lalu untuk bersaing dengan Zoom Video Communications Inc.
Facebook juga akan menambah produk yang berfungsi seperti Clubhouse yang membolehkan pengguna bercakap menerusi pentas maya dan ciri yang membolehkan pengguna memuat naik pesanan suara pada suapan berita. Selain itu, mereka akan melancarkan produk podcast yang berkaitan dengan Spotify.
Perancangan itu dibuat selepas Clubhouse menutup pusingan pendanaan Siri C yang dijalankan Andreessen Horowitz.
Terdahulu, Bloomberg News melaporkan pusingan itu akan menilai aplikasi berusia setahun itu sekitar AS$4 bilion, iaitu empat kali ganda anggarannya dari Januari.
Beberapa syarikat gergasi media sosial berusaha untuk membuat produk Clubhouse versi sendiri selepas ia mula menarik sekitar dua juta pengguna pada Februari tahun lalu.
Twitter Inc. memperkenalkan satu ciri baharu seperti Clubhouse yang dipanggil Spaces manakala LinkedIn Microsoft Corp. dan Slack Technologies Inc. juga mengatakan bahawa mereka akan menggunakan ciri serupa untuk rangkaian mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, tampil secara langsung semasa perbincangan Clubhouse tahun ini dan syarikat itu mengarahkan beberapa pasukan untuk meneliti produk sembang berkaitan audio yang dapat menyaingi Clubhouse.
“Kami telah menghubungkan orang-orang melalui teknologi audio dan video selama bertahun-tahun dan selalu meneroka cara baharu untuk meningkatkan pengalaman pengguna,” kata Facebook kepada Recode.
Dalam pada itu, menurut Recorde, Apple Inc. sedang menyediakan perkhidmatan podcast langganan yang mungkin diumumkannya pada Selasa. – AGENSI