SINGAPURA: Harga minyak meningkat semalam ketika dolar Amerika Syarikat (AS) lebih lemah dan jangkaan inventori minyak mentah menurun di negara pengguna minyak terbesar dunia itu.
Walau bagaimanapun, peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Asia sedikit menyeimbangkan harga minyak.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Jun meningkat 54 sen atau 0.8 peratus kepada AS$67.59 (RM278.27) setong pada sesi dagangan pagi.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk penghantaran Mei yang luput semalam juga meningkat 53 sen atau 0.8 peratus kepada AS$63.91 (RM263.12) setong.
Kontrak yang lebih aktif untuk Jun pula meningkat 50 sen atau 0.8 peratus kepada AS$63.93 (RM263.20).
Pembeli yang menggunakan mata wang lain membayar kurang untuk minyak dengan denominasi dolar AS disebabkan nilai mata wang itu yang melemah.
Menurut nota kajian oleh ING Economics, kelemahan dolar AS terus menyokong kompleks komoditi walaupun terdapat kebimbangan tentang permintaan minyak di beberapa rantau.
Indeks dolar AS menurun kepada catatan terendah dalam enam minggu berbanding mata wang utama lain kelmarin, disebabkan penyusutan hasil Perbendaharaan AS minggu lalu dan hanya meningkat sedikit kepada 91.0555 semalam.
Turut menyokong harganya, simpanan stok minyak mentah dan sulingan AS dijangka jatuh minggu lalu, sementara inventori gasolin berkemungkinan naik, menurut tinjauan awal Reuters kelmarin.
Tinjauan tersebut dibuat sebelum laporan daripada kumpulan industri, Institut Petroleum Amerika (API) semalam dan sayap statistik Jabatan Tenaga AS, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) hari ini.
National Oil Corp. (NOC) dari Libya mengumumkan force majeure kelmarin terhadap eksport dari pelabuhan Hariga dan berkata, ia mungkin meneruskan langkah tersebut kepada fasiliti lain disebabkan pertikaian belanjawan dengan bank pusat negara itu.
Gangguan tersebut mampu mengurangkan output minyak Libya sebanyak 280,000 tong sehari, mengurangkan pengeluaran kepada bawah sejuta tong sehari buat kali pertama sejak Oktober, menurut ING.
Eksport minyak mentah Arab Saudi jatuh ke catatan terendahnya dalam lapan bulan pada Februari, menurut Joint Organisations Data Initiative (JODI) kelmarin, menggambarkan komitmen pengeksport minyak terbesar dunia itu terhadap pengehadan output sukarelanya bagi menyokong harga minyak.
Walau bagaimanapun, peningkatan kes jangkitan Covid-19 di India, pengimport dan pengguna minyak ketiga terbesar dunia melemahkan pandangan optimis terhadap pemulihan berterusan dalam permintaan bahan api dunia. – AGENSI