Dalang skim EDI diarah bayar RM13.35 juta - Utusan Malaysia

Dalang skim EDI diarah bayar RM13.35 juta

SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meme­rintahkan RBTR Asset Management Berhad (RBTR) dan lima defendan lain untuk membayar RM13.35 juta sebagai ganti rugi atas peranan mereka dalam skim Euro Deposit Investment (EDI).

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataan berkata, mahkamah dalam keputusan 30 Mac lalu turut memerintahkan aset-aset defen­dan dijejaki dan dibayar kepada SC untuk membuat pampasan kepada pelabur skim tersebut.

“Mahkamah juga mengisytiharkan RBTR yang merupakan pengurus dana yang dilesenkan oleh SC, telah melanggar obligasi dan/atau tugasnya di bawah garis panduan pengurus dana dan telah gagal melaksanakan ketelitian wajar untuk melin­dungi wang pelabur,” katanya.

Selain RBTR, lima lagi defendan yang terlibat ialah Locke Guarantee Trust Limited (LGT), New Zealand; Locke Capital Investments Ltd. (LCI), British Virgin Island; Isaac Paul Ratnam; Joseph Lee Chee Hock dan Nicholas Chan Weng Sung.

Terdahulu, SC telah memfailkan saman sivil terhadap RBTR dan lima defendan tersebut pada 2009 manakala pada 17 Mei 2012, suruhanjaya itu membatalkan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) syarikat tersebut.

“Saman sivil tersebut telah difailkan susulan siasatan SC pada Ogos 2009 terhadap skim EDI selepas menerima aduan daripada pelabur.

“Sejumlah 106 pelabur telah diperdaya untuk menyertai skim tersebut yang menjanjikan, antara lain, pulangan tahunan sebanyak lapan peratus yang akan dibayar apabila matang.

“Pelabur telah diperdaya dengan mempercayai bahawa pelaburan mereka telah didepositkan ke dalam sebuah bank di Eropah yang diberi penarafan AAA dengan perlindungan kepada modal dan pendapatan penuh,” kata SC.

Menurut SC, skim EDI telah dipasarkan oleh RBTR bersama LGT dan LCI yang bertindak sebagai pengurus dana di Malaysia secara bersama dengan RBTR.

Katanya, defendan yang lain iaitu Nicholas Chan dan Joseph Lee merupakan pengarah LGT dan LCI, manakala Isaac Ratnam merupakan individu yang dikaitkan dengan operasi kedua-dua syarikat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya