Covid: Trafik udara merosot - Utusan Malaysia

Covid: Trafik udara merosot

Peningkatan kes Covid-19 terus menjejaskan industri penerbangan tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meramalkan penguncupan trafik penumpang udara antara 22.9 hingga 29.1 peratus bersamaan 18.8 juta hingga 20.6 juta penumpang tahun ke tahun, disebabkan peningkatan semula kes Covid-19 dalam dan luar negara.

Pada Disember 2020, Mavcom meramalkan trafik penumpang udara bagi tahun ini akan pulih antara 94.2 peratus dan 100.3 peratus tahun ke tahun, bersamaan 51.7 hingga 53.3 juta penumpang.

Bagaimanapun menurut suruhanjaya itu, suku pertama 2021 menyaksikan hanya 1.7 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan udara.

Ia penurunan sebanyak 91.1 peratus tahun ke tahun, daripada 19.1 juta penum­pang pada suku pertama 2020, menunjukkan jumlah trafik penumpang yang rendah sepanjang tahun.

“Keperluan perjalanan udara turut terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan yang dijangka berkuat kuasa sepanjang 2021.

“Selain itu, ramalan suruhanjaya juga mempertimbangkan faktor beban dan kapasiti tempat duduk untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mavcom berkata, pasaran domestik dijangka akan terus menjadi pemacu utama dalam menghidupkan semula industri penerbangan.

Ia termasuk dengan pandangan bahawa gelembung perjalanan atau travel bubble antara negeri-negeri PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) masih dibenarkan.

“Walau bagaimanapun, ramalan ini dibuat berdasarkan keadaan Covid-19 yang sedang berlaku. Industri penerbangan dijangka terus menghadapi tekanan pandemik Covid-19 sambil ketidakpastian mengancam pemulihan,” katanya.

Menurut Mavcom, pada Februari lalu, kerajaan telah melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa. 

“Malangnya, kelalaian dalam mematuhi langkah-langkah kesihatan awam juga boleh meningkat seiring dengan usaha pemvaksinan yang menyebabkan gelombang jangkitan baharu. Ini akan mengakibatkan pemulihan industri lebih lambat lagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya