Covid-19: Saham Asia, minyak jatuh - Utusan Malaysia

Covid-19: Saham Asia, minyak jatuh

Saham Asia sedikit pulih dari impak Omicron - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Saham-saham Asia dan niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) jatuh semalam ketika kebimbangan peningkatan semula kes Covid-19 di beberapa negara mengurangkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi global serta permintaan minyak mentah.

Indeks penanda aras Asia Pasifik MSCI di luar Jepun jatuh 0.6 peratus manakala saham Australia menyusut 1.25 peratus dan saham di China turun 0.46 peratus.

Niaga hadapan saham e-mini S&P 500 juga jatuh 0.18 peratus.

Niaga hadapan minyak mentah meneruskan penyusutan daripada kenaikan sebulan dalam dagangan Asia disebabkan spekulasi sekatan pergerakan akibat Covid-19 di India, pengimport minyak ketiga terbesar dunia, akan mengurangkan permintaan tenaga.

Pandangan optimis tentang peningkatan kadar vaksinasi di AS, Britain dan Eropah bertukar kebimbangan bahawa kadar tertinggi jangkitan di India dan pelaksanaan sekatan perjalanan akan menghentikan pemulihan ekonomi global.

Penganalisis Commonwealth Bank of Australia dalam nota kajiannya berkata, kebimbangan terbaharu tentang pemulihan ekonomi global memberi kesan kepada harga komoditi dan mata wang komoditi.

“Banyak negara di seluruh dunia seperti India dan Brazil mencatat rekod baharu kes jangkitan dan kematian.

“Selagi virus ini wujud, terdapat risiko mutasinya terhasil dan tersebar ke negara-negara lain,” katanya.

Kejatuhan saham Asia adalah susulan hari yang suram di Wall Street. Purata Industri Dow Jones jatuh 0.75 peratus, S&P 500 kehilangan 0.68 peratus dan Komposit Nasdaq menyusut 0.92 peratus kelmarin, ketika pelabur menjual saham berkaitan penerbangan dan pelancongan disebabkan kebimbangan pemulihan yang lewat dalam pelancongan global.

Beberapa saham teknologi dan syarikat yang mendapat manfaat daripada trend ‘duduk rumah’ mungkin berhadapan tekanan selepas Netflix Inc. melaporkan pengurangan dalam pertumbuhan langganan penstriman filemnya, membuatkan sahamnya susut 11 peratus.

Minyak mentah AS jatuh 0.4 peratus kepada AS$62.42 (RM257.05) setong sementara minyak mentah Brent menyusut 0.26 peratus kepada AS$66.40 (RM273.44) setong.

Dolar Kanada, peso Mexico dan crown Norway mengukuh dalam dagangan Asia selepas jatuh kelmarin, namun peng­analisis memberi amaran lebih banyak penyusutan dijangka untuk mata wang negara pengeksport minyak utama jika harga tenaga terus jatuh. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya