PETALING JAYA: Boustead Properties Berhad menjual tanah berkeluasan 2.67 hektar di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur kepada Sunway Berhad pada harga RM233.4 juta.
Dalam kenyataan di sini semalam, Boustead Properties berkata, majlis menandatangani Perjanjian Jualan dan Pembelian untuk tanah pegangan kekal utama itu diadakan semalam antara anak syarikatnya, Mutiara Rini Sdn. Bhd. dengan anak syarikat milik penuh Sunway, Sunway Rahman Putra Sdn. Bhd.
Kata syarikat pemaju hartanah itu, pihaknya telah memanfaatkan peluang yang tiba tepat pada masanya apabila mereka bukan hanya memperoleh nilai tanah tersebut, malah merealisasikan pulangan yang lebih kukuh untuk pelaburan lain syarikat itu di kawasan Jalan Cochrane.
Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties, Eason Phan berkata, lokasi yang strategik, akses yang mudah dan infrastruktur tersedia di kawasan tersebut membolehkan syarikat itu mendapatkan manfaat kewangan yang menguntungkan di tanah tersebut, berdasarkan kos pelaburan asal mereka.
“Kami yakin pembangunan seterusnya oleh pembeli (Sunway) akan meningkatkan populasi kawasan tersebut, sekali gus menambah bilangan pengunjung MyTown.
“Hasil daripada pengewangan harta akan membolehkan Boustead Properties menumpukan usaha meningkatkan nilai aktiviti hartanah kami yang sedang berlangsung.
“Langkah ini juga selaras dengan strategi Reinventing Boustead oleh Boustead Holdings Berhad untuk menyelongkar nilai dengan membayangkan semula peranan kami sebagai pemaju hartanah berpandukan kemampanan,” katanya.
Menurut Eason, bidaan Sunway diterima daripada beberapa pilihan pembida lain yang merupakan pemaju yang tersohor dan kukuh dari segi kewangan yang diyakini dapat mempercepat pertumbuhan di kawasan tersebut.
Saham Boustead jatuh 0.01 mata atau 1.69 peratus daripada harga buka 0.59 sen sesaham kepada harga tutup 0.58 sen sesaham. – UTUSAN