SEOUL: Keluarga mendiang Pengerusi Samsung Electronics, Lee Kun-hee memberitahu, mereka akan membayar lebih 12 trilion won (AS$10.8 bilion (RM44.296 bilion)) cukai harta pusaka dan mendermakan koleksi seni peribadi mendiang kepada muzium negara.
Kun-hee yang berjaya mengangkat Samsung sebagai pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia, meninggal pada 25 Oktober tahun lalu, dilaporkan memiliki kekayaan bernilai kira-kira 26 trilion won (RM96.2 bilion).
Keluarga mendiang yang menanggung bil cukai harta pusaka, antara terbesar dalam sejarah Korea dan dunia, memantau secara dekat perkara tersebut kerana ia boleh menjejaskan pegangan saham mereka di dalam Samsung.
Bagaimanapun, terdapat gesaan dalam kalangan masyarakat supaya koleksi seni peribadi mendiang antaranya karya Picasso, Monet dan Chagall, dianggarkan bernilai AS$1.76 bilion (RM7.22 bilion) kekal di Korea Selatan.
Dilaporkan, keluarga mendiang berhasrat untuk mendermakan sebahagian besar hasil jualan koleksi berkenaan dalam usaha membaiki imej mendiang atas dakwaan mengelak cukai dan pelbagai tuduhan lain, sedekad lalu.
Mereka dilaporkan merancang untuk membayar cukai berkenaan secara ansuran dalam tempoh lima hingga enam tahun, bermula bulan ini.
Saham Samsung C&T susut sebanyak 5.5 peratus. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan mengenai bagaimana sama-saham mendiang akan diagihkan, sekiranya saham tersebut dijual dan bagaimana keluarga mendiang mendapat dana untuk membayar cukai berkenaan.
“Terdapat kekecewaan dalam kalangan pelabur kerana tiada maklumat lanjut bagaimana saham-saham mendiang akan diagihkan,” kata Penganalisis di HI Investmen & Securities, Lee Sang-hun.
Para pelabur sebaliknya perlu menunggu pihak berkuasa mengemulakan permohonan mengenai perubahan pegangan saham oleh anak mendiang yang juga Naib Pengerusi Samsung Electronic, Jay Y. Lee atau lain-lain ahli keluarganya.
Difahamkan, keluarga mendiang sedang berunding untuk menggunakan saham-saham dalam syarikat bersekutu atau mendapatkan pinjaman peribadi bagi membayar cukai berkenaan, berbanding menjual pegangan mereka di dalam Samsung, lapor Reuters memetik sumber.
Penganalisis berpendapat, keluarga mendiang kemungkinan menggunakan pinjaman atau dividen mereka dan mendiang untuk membayar cukai berkenaan.
Pegangan saham mendiang termasuk 4.18 peratus di dalam Samsung Electronis, 0.08 peratus saham utama, 20.76 peratus di dalam Samsung Life Insurance, 2.88 peratus dalam Samsung C&T dan 0.01 peratus dalam Samsung SDS. – AGENSI