KUALA LUMPUR: Bank Rakyat berjaya mengekalkan pemberian dividen dua angka untuk tahun ke-22 apabila mengumumkan pemberian dividen 13 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, semalam.
Pemberian dividen tersebut bagaimanapun menurun satu peratus berbanding 14 peratus yang diagihkan tahun sebelumnya.
Jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM373.36 juta kepada 834,302 anggotanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembayaran dividen tersebut akan dilakukan serta-merta semalam.
Beliau turut berharap, pembayaran tersebut dapat membantu meringankan beban anggota Bank Rakyat yang terjejas akibat pandemik dan dapat digunakan sebagai persiapan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Saya mengucapkan tahniah kepada lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat kerana telah berjaya merekodkan kejayaan yang memberangsangkan sekali lagi, meskipun (berhadapan) pelbagai cabaran pada 2020 berikutan pandemik Covid-19.
“Saya percaya ini semua merupakan berkat sokongan berterusan daripada pelanggan dan anggota Bank Rakyat,” katanya dalam Majlis Pengumuman Dividen dan Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar.
Untuk tahun kewangan 2020, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan bersih RM1.38 bilion dan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.44 bilion.
Abd. Rani berkata, prestasi kukuh tersebut dicapai melalui fokus Bank Rakyat terhadap aktiviti teras walaupun berada dalam persekitaran tidak menentu kesan pandemik dan pemberian moratorium.
“Selain itu, prestasi kewangan 2020 turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pendapatan pembiayaan berikutan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan margin.
“Namun demikian, peruntukan penjejasan yang lebih tinggi setelah mengambil kira potensi pembiayaan terjejas (NPF) sejajar dengan industri mengakibatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih rendah berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.83 bilion,”katanya. – UTUSAN