PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) melancarkan aplikasi semua dalam satu, Tropicana 360 yang bakal memberikan kemudahan dan pengalaman digitalisasi berbeza kepada pemilik kediaman pemaju tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan Tropicana, Dion Tan berkata, idea untuk membangunkan aplikasi hartanah paling komprehensif itu didorong penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia yang secara tidak langsung memperluas penggunaan kaedah digital.
Ujarnya, pihaknya sentiasa berusaha memacu transformasi digital untuk mendekatkan kumpulan dengan pelanggan menerusi penyediaan ‘All Things Tropicana’ di hujung jari mereka.
“Aplikasi mesra pengguna yang sangat komprehensif ini menawarkan lebih daripada 16 ciri utama yang memberikan kemudahan maksimum dan platform sehenti untuk pemilik kediaman Tropicana dari pra-penjualan hingga selesai urusan pemilikan.
“Selain itu, mereka juga boleh menempah fasiliti dan merekodkan kehadiran tetamu dengan mudah menggunakan aplikasi ini selepas dimuat turun daripada Google Play atau Apple App Store,” katanya dalam majlis Triple Celebration di Tropicana Gardens, di sini.
Dalam majlis sama, Tropicana turut memperkenalkan laman web korporatnya yang diubah suai daripada laman web sedia ada dengan penambahan maklumat terdahulu, terkini dan visi masa hadapan kumpulan serta galeri siling tinggi dengan reka bentuk dalaman terbaharu, Tropicana Experiential Hall.
Dion memaklumkan, tiga pelancaran terbaharu itu menunjukkan komitmen kumpulan dalam memacu transformasi digital, memanfaatkan teknologi dan rangkaian untuk pihak berkepentingan dalam usaha mempercepat pertumbuhan.
“Laman web baharu kumpulan direka selari dengan arus pemodenan namun tetap mesra pengguna. Setiap hartanah di bawah Tropicana dipaparkan dan dihubungkan dengan laman mikro masing-masing.
“Dengan melayari laman web tersebut, pelanggan ditawarkan pelbagai kemudahan antaranya mereka boleh melihat sendiri kelayakan pinjaman dengan bantuan kalkulator yang akan memeriksa kelayakan pinjaman mereka daripada 18 bank di Malaysia dalam beberapa minit,” jelasnya. – UTUSAN