PETALING JAYA: AmBank Group Bhd. menjadi institusi kewangan pertama di Malaysia memasang panel solar fotovoltaik (PV) yang bakal memberikan penjimatan sekitar RM300,000 dalam tempoh 21 tahun.
AmBank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) telah membuat perjanjian mengenai projek penjanaan sendiri Solar PV.
Kapasiti keseluruhan panel solar 65.61kWP telah dipasang di satu daripada bangunannya di bumbung Damansara Fairway 3 (DF3) melalui skim Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) dengan penyelesaian modal sifar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, bank berusaha untuk mewujudkan masa depan bersama yang mampan untuk pelanggan, pekerja dan masyarakat secara amnya untuk kepentingan generasi kini dan akan datang.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan TNB kerana pencapaian penting ini sejajar dengan agenda kelestarian Ambank dalam mendepani krisis alam sekitar global.
“Sistem PV solar ini telah berjaya dipasang dan menghasilkan tenaga bersih sejak 30 September 2020. Inisiatif ini diharapkan dapat mengimbangi 59.3 tan metrik karbon dioksida setiap tahun,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, sebagai penyedia utama penyelesaian tenaga lestari, TNB sentiasa menyokong AmBank dalam merealisasikan tonggak penting dalam Agenda Kelestarian mereka dan menjadi institusi kewangan pertama di Malaysia yang menggunakan tenaga solar di bawah skim SARE.
“Melalui GSPARX, TNB berada dalam posisi yang baik untuk menyediakan perkhidmatan end-to-end dalam penyelesaian teknologi solar yang inovatif, menyokong pelanggan kami melalui perkongsian strategik jangka panjang,” ujarnya. – UTUSAN